
SHAH ALAM, 1 SEPT: Empat maut termasuk pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, Lanchang, Temerloh, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata tiga beranak yang maut ialah Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak mereka Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun.
Ketiga-tiga mangsa yang menaiki Proton S70 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa maut ialah Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, yang merupakan penumpang Honda CR-V dipandu anak lelakinya berusia 18 tahun.
Menurut Azry Akmar, polis menerima laporan mengenai kemalangan kira-kira jam 10.55 malam, membabitkan sebuah lori tangki membawa simen, sebuah bas dan sembilan kereta yang bergerak ke arah timur, lapor Sinar Harian.
“Siasatan awal mendapati lori tangki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang ketika itu bergerak perlahan.
“Pemandu Honda CR-V berusia 18 tahun cedera parah, manakala bapanya meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Proton S70 bersama isteri dan anak lelaki mereka turut maut di lokasi,” katanya.
Pemandu lori tangki juga cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.
Pemandu serta penumpang lapan kenderaan lain pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.





