Fifinaz Nareeman dilantik sebagai CEO Yayasan PETRONAS menggantikan Shariah Nelly

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 3:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Fifinaz Nareeman dilantik sebagai CEO Yayasan PETRONAS menggantikan Shariah Nelly Image from: Fifinaz Nareeman dilantik sebagai CEO Yayasan PETRONAS menggantikan Shariah Nelly hamden04/11/2026 - 15:23

KUALA LUMPUR 4 Nov – Yayasan PETRONAS melantik Fifinaz Nareeman Faizal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 November 2026, menggantikan Shariah Nelly Francis yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Oktober 2026 selepas menerajui yayasan itu selama enam tahun.

 

Pelantikan Fifinaz, yang kini merupakan Pengurus Besar Komunikasi Strategik, Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, dibuat ketika Yayasan PETRONAS meneruskan usaha memperkukuh peranannya sebagai cabang impak sosial syarikat minyak dan gas negara itu.

 

Sepanjang tempoh kepimpinannya, Shariah Nelly memperkukuh kedudukan Yayasan PETRONAS menerusi tumpuan strategik yang lebih jelas, tadbir urus serta pelaksanaan program berasaskan hasil.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau turut menerajui pembangunan kerangka Teori Perubahan (Theory of Change) bagi menyelaraskan program dan kerjasama yayasan itu dengan tiga tonggak utamanya, iaitu Pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti serta Alam Sekitar.

 

Menerusi pelbagai inisiatif merangkumi pembelajaran, pembinaan daya tahan komuniti, penjagaan alam sekitar dan tindak balas bencana, Yayasan PETRONAS berjaya mendekati hampir 787,000 anggota masyarakat di seluruh Malaysia.

 

Yayasan itu turut memperkukuh kerjasama strategik, memperluas jangkauan program serta meningkatkan akauntabiliti terhadap hasil yang dicapai.

 

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, merakamkan penghargaan atas sumbangan Shariah Nelly sepanjang menerajui yayasan berkenaan dan mendoakan kejayaannya pada masa hadapan.

 

“Komitmen beliau terhadap inisiatif berorientasikan hasil telah membantu membentuk hala tuju strategik yayasan serta memperkukuh usaha untuk menghasilkan impak sosial yang mampan. Kami mendoakan kejayaan beliau dalam fasa seterusnya perjalanan kerjayanya,” katanya.

 

Membawa pengalaman 25 tahun

Sementara itu, Fifinaz membawa pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pemasaran, komunikasi strategik, pembangunan perniagaan, strategi sumber manusia serta transformasi perusahaan dalam Kumpulan PETRONAS.

 

Dalam jawatan semasanya, beliau bertanggungjawab menerajui komunikasi, penjenamaan dan kedudukan reputasi serta penglibatan pihak berkepentingan bagi perniagaan yang mempunyai hubungan global.

 

 

 

 

 

 

Fifinaz memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa dari LeBow College of Business, Drexel University, Amerika Syarikat. 

 

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan Fifinaz untuk meneruskan asas kukuh yang telah dibina oleh Yayasan PETRONAS, memperdalam kerjasama dengan rakan strategik dan komuniti, serta memacu usaha yayasan ke arah impak sosial yang bermakna, boleh diukur dan mampan di seluruh Malaysia,” kata Mohd Bakke. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved