hamden10/09/2026 - 16:47 KUALA LUMPUR 10 Sept - Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) baru-baru ini menegur tiga bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan skim persaraan swasta (PRS) kerana salah laku dan pelanggaran Peraturan Disatukan FIMM (FCR).
FIMM dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga perunding itu turut didapati melanggar kod etika serta peraturan tatakelakuan profesional FIMM.
FIMM berkata bekas perunding UTS Malayan Banking Bhd (Maybank), Mohd Nur Aliff Hasroni, gagal memberikan penjelasan yang jelas kepada dua pelabur mengenai ciri-ciri dan caj jualan bagi deposit tetap yang digabungkan dengan pelaburan sukuk Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), selain memalsukan tandatangan mereka.
Beliau dilarang daripada mendaftar dengan FIMM selama tiga tahun berkuat kuasa 5 Ogos 2026 dan dikenakan teguran awam.
Bekas perunding UTS dan PRS Principal Asset Management Bhd, Nor Azlina Omar, didapati mengemukakan tujuh borang penebusan UTS yang mengandungi tandatangan pelabur yang dipalsukan serta melakukan tujuh penebusan UTS tanpa kebenaran berjumlah RM163,963.82 daripada akaun pelaburan seorang pelabur.
FIMM berkata beliau turut memperoleh akses kepada akaun bank pelabur berkenaan melalui kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kemudahan perbankan dalam talian, sebelum menyalahgunakan RM79,700 antara 27 Disember 2018 hingga 21 Mac 2019.
Beliau dilarang daripada mendaftar dengan FIMM pada masa hadapan dan dikenakan teguran awam.
Bekas perunding UTS Public Mutual Bhd, Mohamad Firdaus Ahmad, pula didapati menerima wang tunai RM15,000 daripada seorang pelabur bagi pelaburan UTS dan RM1,000 daripada seorang lagi pelabur ke dalam akaun bank peribadinya.
Beliau turut menyalahgunakan wang yang diterima daripada pelabur berkenaan serta memberikan dokumen pelaburan yang dipalsukan kepada mereka.
FIMM berkata Firdaus dilarang daripada mendaftar dengan FIMM selama lima tahun berkuat kuasa 5 Ogos 2026 dan dikenakan teguran awam.
“Keputusan jawatankuasa tatatertib itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor yang meringankan dan memberatkan yang terpakai bagi setiap kes berkenaan,” kata FIMM.
FIMM berkata teguran awam itu dikenakan bagi memberikan mesej yang jelas bahawa pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturannya.
“Ini bertujuan menghalang perunding UTS dan/atau PRS daripada melakukan sebarang salah laku serta mengingatkan mereka bahawa adalah penting untuk mematuhi peraturan FIMM ketika memasarkan dan mengedarkan skim unit amanah dan/atau skim persaraan swasta di Malaysia bagi melindungi kepentingan orang ramai yang melabur,” katanya. - BERNAMA






