amree26/08/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos - Toku Ltd terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor perbankan Malaysia dengan meraih kontrak baharu selama lima tahun daripada sebuah kumpulan perbankan, menandakan projek kedua syarikat itu dengan pelanggan yang sama.
Syarikat platform pengalaman pelanggan (CX) dijana kecerdasan buatan (AI) berpangkalan di Singapura itu berkata, kontrak tersebut memperkukuh momentum pertumbuhan dalam industri terkawal yang semakin memberi penekanan kepada pematuhan, keselamatan dan infrastruktur dihoskan secara tempatan.
Ujarnya, kontrak yang diperoleh pada Ogos 2026 itu turut memperkuatkan kehadirannya dalam sektor perbankan Malaysia, dengan kumpulan perbankan berkenaan memilih untuk memperluaskan kerjasama selepas projek terdahulu.
"Bagaimanapun, identiti kumpulan perbankan tersebut dan nilai kewangan kontrak tidak didedahkan atas faktor kerahsiaan pelanggan," jelasnya dalam kenyataan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Toku, Thomas Laboulle, berkata, mandat berulang daripada pelanggan merupakan petunjuk kukuh terhadap tahap kepercayaan terhadap keupayaan syarikat menyediakan rumusan kepada perusahaan dalam industri yang dikawal selia.
Pelanggan Perluas Penggunaan Perkhidmatan
Menurut beliau, kemenangan kontrak itu juga mencerminkan corak pertumbuhan Toku, apabila pelanggan memulakan hubungan menerusi satu projek sebelum memperluaskan penggunaan perkhidmatan dan rumusan syarikat.
Beliau berkata, pihak pengurusan sebelum ini menyifatkan separuh pertama 2026 sebagai tempoh pelaburan, manakala separuh kedua tahun ini akan memberi tumpuan kepada penukaran peluang komersial kepada kontrak dan pendapatan.
"Kemenangan terbaharu itu merupakan petunjuk awal bahawa strategi tersebut mula membuahkan hasil, khususnya apabila Toku terus meningkatkan kedudukan dalam industri yang memerlukan tahap keselamatan dan pematuhan yang tinggi," jelas Laboulle.
Kontrak berkenaan ujar beliau, turut menambah kepada momentum komersial Toku selepas buku tempahannya meningkat kira-kira 25% kepada sebanyak AS$29.3 juta (RM117.97 juta) setakat 30 Jun 2026.
Dalam tempoh sama, jumlah pelanggan Tier 1, iaitu akaun yang menjana pendapatan tahunan melebihi AS$500,000 (RM2.013 juta), meningkat lebih dua kali ganda, memperkukuh asas pendapatan kumpulan.
Toku menjangkakan pertumbuhan hasil organik tahun ke tahun (YoY) pada separuh kedua 2026 akan melebihi kadar pertumbuhan 13% yang dicatatkan pada separuh pertama, disokong penukaran peluang komersial kepada kontrak baharu. - DagangNews.com






