amree26/08/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos — MCE Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM54.28 juta daripada Perodua bagi membekalkan komponen elektronik automotif termasuk paparan audio, kamera undur dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Kontrak diberikan bagi tempoh 40 bulan dan melibatkan pembekalan pelbagai komponen elektronik serta mekatronik untuk sebuah model kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), sekali gus membuka peluang baharu dalam segmen komponen bernilai tinggi.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, projek itu merupakan kali pertama pembekalan komponen paparan audio dan berkaitan ADAS untuk model ICE, selepas kumpulan ini membina kepakaran dalam sistem hiburan dalaman bagi kenderaan elektrik (EV).
"Kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad, dengan pengeluaran dijadualkan bermula pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027," kata MCE.
Pengeluaran komponen tersebut akan dilaksanakan di MCE Auto Hub di Serendah, Selangor yang baru dilancarkan, dengan kumpulan menganggarkan kos pelaburan keseluruhan sebanyak RM4.95 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Wira Dr Goh Kar Chun berkata, hubungan jangka panjang dengan Perodua membolehkannya berkembang dan mengambil peluang menghasilkan produk automotif yang lebih canggih.
Menurut beliau, kerjasama tersebut turut membantu MCE dalam usaha meningkatkan keupayaan reka bentuk dan pembuatan serta bergerak ke peringkat yang lebih tinggi dalam rantaian nilai industri automotif tempatan.
"Kontrak terbaharu itu juga akan memperluaskan rangkaian produk yang dibekalkan kepada Perodua ketika kumpulan ini secara berperingkat meningkatkan pengeluaran dan penggunaan kapasiti di MCE Auto Hub," jelas beliau.
MCE melihat kemudahan baharu itu sebagai pusat pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyokong pengembangannya dalam komponen elektronik automotif yang lebih bernilai dan canggih.
Kumpulan itu turut komited bekerjasama dengan Perodua bagi meningkatkan penggunaan kandungan tempatan dalam elektronik dan sistem automotif, selaras aspirasi kerajaan membangunkan ekosistem automotif lebih berdaya saing.
MCE sebagai pembekal automotif Tier-1 Malaysia, kini mempunyai operasi pembuatan di Johor Bahru, Klang dan Serendah, dengan produk dibekalkan kepada pengeluar kenderaan serta pembekal komponen di Malaysia, ASEAN dan pasaran luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com






