
KUALA LUMPUR - Lapan lelaki tempatan termasuk seorang pempengaruh permotoran direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan kes menutup sebahagian Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) untuk berlumba, Sabtu lalu.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret R. Salini di Mahkamah Majistret Kulai, Johor hari ini, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke mahkamah berkenaan pada pukul 8.25 pagi selepas ditahan semalam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, sekumpulan individu itu dipercayai menutup jalan dari Kilometer 33 susur Tol Senai Utara hingga Kilometer 31 susur Johor Premium Outlet (JPO) di Linkedua untuk dijadikan litar perlumbaan.
Beliau berkata mereka ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kes berkenaan.
Tindakan suspek itu tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan beberapa individu bertindak menahan dan menghalang pengguna jalan raya lain bagi memberi laluan kepada perlumbaan berkenaan. - 24 Ogos, 2026
The post Insiden tutup laluan Linkedua: Pempengaruh permotoran, 7 lelaki direman appeared first on Scoop.






