PUTRAJAYA – Kehadiran warga asing di premis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak semestinya bermaksud mereka sedang memohon atau akan diberikan kad pengenalan (MyKad).
JPN dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan pihaknya menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan.
Penjelasan itu susulan hantaran yang tular di media sosial yang memaparkan kehadiran individu warga asing di premis JPN sebelum dikaitkan dengan urusan membuat kad pengenalan.
Menurut JPN, pihaknya turut pernah memberikan penjelasan berhubung isu hampir sama pada Jun lalu, khususnya mengenai kekeliruan yang mengaitkan pendaftaran kelahiran individu bukan warganegara dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia.
“Untuk makluman, kehadiran seseorang di premis JPN tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad.
“JPN menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN menjelaskan sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti sesuatu kelahiran telah didaftarkan di Malaysia dan bukan bukti individu tersebut merupakan warganegara Malaysia.
Sijil berkenaan turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara, termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
Ujar JPN, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira sama ada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut merupakan warganegara atau bukan warganegara.
“Pendaftaran ini penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, tular di platform Threads hantaran yang mendakwa kehadiran sekumpulan individu dipercayai Rohingya di premis JPN adalah bagi tujuan membuat kad pengenalan.
Dakwaan berkenaan mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial berhubung status kewarganegaraan dan proses mendapatkan MyKad, terutama apabila gambar kehadiran warga asing di premis JPN dikaitkan secara langsung dengan urusan kad pengenalan.
Bagaimanapun, JPN menegaskan bahawa kesimpulan sedemikian tidak boleh dibuat hanya berdasarkan kehadiran seseorang di premis jabatan berkenaan.
JPN berkata, terdapat pelbagai urusan lain yang sememangnya melibatkan bukan warganegara termasuk pendaftaran kelahiran serta perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau berdasarkan sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan.
“Mari kita sama-sama memahami sesuatu isu berdasarkan fakta, konteks dan penjelasan yang tepat, bukan semata-mata berdasarkan persepsi daripada sekeping gambar atau video rakaman yang tidak jelas,” menurut kenyataan itu.
Pada Jun lalu, JPN dilaporkan merekodkan sebanyak 60,698 pendaftaran kelahiran membabitkan warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sejak 2000 hingga 19 Jun 2026.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, rekod itu membabitkan tiga kategori utama iaitu warga Myanmar, Burma dan pemegang kad UNHCR.
Sebahagian besar daripadanya dipercayai melibatkan etnik Rohingya, namun JPN tidak memecahkan angka mengikut kategori bagi mengelakkan ketidaktepatan data.
JPN turut menegaskan bahawa pendaftaran kelahiran tidak memberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik, sebaliknya status kewarganegaraan ditentukan berdasarkan kewarganegaraan ibu bapa serta status perkahwinan mengikut peruntukan undang-undang.
Sementara itu, portal rasmi JPN turut membezakan perkhidmatan berkaitan MyKad, MyPR dan MyKAS, menunjukkan urusan di jabatan itu merangkumi pelbagai kategori dokumen pengenalan diri.
JPN mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan fakta dan konteks sebenar sebelum membuat kesimpulan berhubung sesuatu gambar atau video yang tular.






