liza05/11/2026 - 11:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Focus Point Holdings Bhd kini memperluas langkah dalam pasaran cermin mata mewah menerusi pelancaran konsep peruncitan Focus Point Prestige di Johor Bahru, bagi menarik pelanggan yang mengutamakan jenama antarabangsa, reka bentuk eksklusif dan teknologi penjagaan penglihatan.
Langkah itu adalah satu lagi strategi penawaran kumpulan daripada rangkaian peruncitan optik sedia ada kepada segmen mewah menerusi sebuah konsep kedai khusus yang menghimpunkan 14 jenama cermin mata antarabangsa di bawah satu bumbung.
Kedai yang beroperasi di The Mall, Mid Valley Southkey itu menampilkan jenama seperti Bvlgari, Cartier, Dior, Gucci, Prada, Miu Miu, Saint Laurent, TAG Heuer, TOM FORD, Valentino, DITA, ic! berlin, LINDA FARROW dan 999.9 (Four Nines).
Pelancaran Focus Point Prestige mencerminkan usaha kumpulan mempelbagaikan konsep peruncitan dan memenuhi permintaan pengguna yang semakin mengutamakan gabungan fesyen, keselesaan serta kepakaran penjagaan penglihatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Holdings, Datuk Liaw Choon Liang berkata Focus Point Prestige merupakan konsep kedai paling eksklusif kumpulan itu, dengan kedudukan lebih tinggi berbanding rangkaian Signature yang menyasarkan segmen pertengahan hingga premium.
Beliau berkata, kumpulan itu melihat potensi pasaran Johor Bahru yang berkembang serta kuasa perbelanjaan pelanggan dari Singapura sebagai antara faktor pemilihan lokasi pertama konsep berkenaan.
Malah, kumpulan itu turut merancang untuk memperluas konsep Focus Point Prestige ke Kuala Lumpur pada masa hadapan.
Teknologi canggih untuk pengalaman pelanggan
Selain pilihan jenama, Focus Point Prestige turut menawarkan perkhidmatan pemasangan cermin mata menggunakan teknologi ZEISS, termasuk sistem VisuFit 1000 yang membolehkan pelanggan menilai kesesuaian bingkai berdasarkan ciri wajah masing-masing.
“Pendekatan itu menggabungkan teknologi pemasangan digital dengan kepakaran penjagaan mata profesional bagi memberikan pengalaman pemilihan cermin mata yang lebih tepat dan diperibadikan,” katanya.
Antara tarikan konsep berkenaan ialah gabungan jenama fesyen antarabangsa dan jenama khusus yang menawarkan reka bentuk serta ciri pembuatan berbeza yang menitikberatkan ketepatan kejuruteraan, keselesaan dan ketahanan.
Perluas pilihan dalam rangkaian peruncitan
Focus Point Vision Care Group merupakan anak syarikat Focus Point Holdings Bhd yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dengan rangkaian lebih 210 cawangan di seluruh negara.
Kumpulan itu mempunyai lebih 36 tahun pengalaman dalam industri penjagaan penglihatan serta menawarkan perkhidmatan merangkumi pemeriksaan penglihatan, pengurusan kesihatan mata, kawalan rabun jauh dan penjualan bingkai serta kanta khusus.
Focus Point turut mempunyai lebih 250 profesional penjagaan mata bertauliah dalam rangkaiannya, sekali gus menyokong penawaran perkhidmatan optik daripada aspek pemeriksaan sehingga pemilihan produk. - DagangNews.com






