Matrix Concepts sasar sumbangan hasil Johor 20% menerusi pembangunan Kulai RM2.1 bilion – Penganalisis

28 Oct 2026 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Matrix Concepts sasar sumbangan hasil Johor 20% menerusi pembangunan Kulai RM2.1 bilion – Penganalisis Image from: Matrix Concepts sasar sumbangan hasil Johor 20% menerusi pembangunan Kulai RM2.1 bilion – Penganalisis liza28/10/2026 - 09:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt – Matrix Concepts Holdings Berhad menyasarkan sumbangan Johor kepada hasil kumpulan meningkat daripada kira-kira 5% ketika ini kepada antara 15% hingga 20% dalam jangka panjang seiring usaha memperluas operasi pembangunan hartanahnya di negeri itu melalui pengambilalihan tanah di Kulai bernilai RM169.3 juta.

 

BIMB Securities Research berkata pengambilalihan itu membuka ruang kepada kumpulan berkenaan untuk memperluas asas pembangunan di luar pasaran terasnya di Negeri Sembilan, selain menyediakan saluran pembangunan baharu yang merangkumi hartanah industri, kediaman dan komersial.

 

“Langkah itu turut menyokong sasaran jangka panjang pengurusan untuk menjana lebih 30% hasil kumpulan dari luar Negeri Sembilan, sekali gus meningkatkan sumbangan pasaran lain kepada perniagaan syarikat,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Matrix Concepts, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Matrix Concepts (Southern), memeterai perjanjian jual beli berasingan bagi memperoleh 57 bidang tanah pertanian di Tempat Sengkang, Mukim Senai, Kulai, dengan keluasan keseluruhan kira-kira 174.77 hektar (431.9 ekar).

 

Tanah berkenaan terletak antara bandar Kulai dengan Koridor Pertumbuhan Perindustrian Sedenak, selain mempunyai akses ke Lebuhraya Utara-Selatan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

 

Menurut BIMB Securities Research, pembangunan itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.1 bilion dan dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima hingga lapan tahun.

 

Pembangunan industri diberi keutamaan

Dalam peringkat awal, pengurusan bercadang memberi keutamaan kepada pembangunan hartanah industri bagi tempoh dua hingga tiga tahun pertama sebelum memperkenalkan komponen kediaman dan komersial.

 

BIMB Securities Research berkata komponen industri itu dijangka merangkumi kira-kira 20% hingga 50% daripada keluasan tanah, bergantung pada permintaan pasaran dan pelan induk akhir.

 

Antara pembangunan yang dirancang termasuk kilang berkembar dan lot tanah industri, dengan kumpulan menyasarkan perniagaan industri konvensional serta syarikat multinasional.

 

Bagaimanapun, pusat data bukan keutamaan segera bagi pembangunan di tapak berkenaan, manakala campuran pembangunan akhir masih bergantung pada perancangan dan keadaan pasaran.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Matrix Concepts beli tanah 174.77 hektar di Kulai bernilai RM169.31 juta

 

Harga tanah menarik, tetapi kos pembangunan perlu diteliti

Dalam pada itu, RHB Research menyifatkan harga pembelian tanah pada RM9 sekaki persegi sebagai menarik berbanding beberapa urus niaga tanah sekitar Kulai yang dilaporkan pada lingkungan RM15 hingga RM20 sekaki persegi.

 

Namun, BIMB Securities berkata kos keseluruhan tanah, termasuk penukaran status dan penyediaan infrastruktur, dianggarkan sekitar RM34 hingga RM35 sekaki persegi. Kos akhir bergantung pada pelan pembangunan yang diluluskan serta premium penukaran tanah.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan Beli terhadap saham Matrix Concepts dengan harga sasaran RM1.49, manakala RHB Research turut mengekalkan saranan Beli tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM1.45 daripada RM1.65.

 

MBSB Research pula mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM1.33, sambil melihat pengembangan di Johor sebagai langkah jangka panjang untuk meluaskan asas pertumbuhan kumpulan di luar pembangunan terasnya di Sendayan.

 

Peningkatan hutang

Peningkatan hutang dan keperluan mengurus aliran tunai menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh Matrix Concepts Holdings Berhad susulan cadangan pengambilalihan 57 bidang tanah pertanian di Kulai, Johor, bernilai RM169.3 juta.

 

RHB Research menjangkakan nisbah hutang bersih kepada ekuiti kumpulan itu meningkat kepada kira-kira 0.40 kali daripada 0.33 kali ketika ini, manakala BIMB Securities Research menganggarkan kira-kira 85% daripada nilai pembelian tanah berkenaan akan dibiayai melalui pinjaman.

 

MBSB Research pula menganggarkan nisbah hutang bersih kumpulan itu meningkat kepada 0.41 kali daripada 0.33 kali pada suku pertama tahun kewangan 2027. Bagaimanapun, firma itu menjangkakan tahap hutang berkenaan masih boleh diurus. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved