
JAKARTA – Seorang gadis berusia 17 tahun menjadi sensasi internet kerana sanggup pergi ke Bali dari wilayah Jawa Barat untuk bertemu kekasihnya, lapor laman berita Lambe Turah.
Gadis dikenali sebagai I itu berkenalan dengan kekasihnya, IKWA, 17, melalui permainan video PUBG sebelum mereka menjalinkan hubungan jarak jauh.
Kerana tidak mampu menahan rindu, I berkunjung ke rumah teman lelakinya di Karangasem dari Bekasi, baru-baru ini. Jarak antara dua lokasi adalah lebih 900 kilometer.
Ketibaan I mencetuskan kebimbangan terhadap keluarga IKWA kerana dia masih di bawah umur. Mereka kemudian melaporkan keberadaan gadis tersebut kepada polis.
Ketua Perhubungan Awam Polis Karangasem, Inspektor Pertama I Nengah Artono berkata, I dijemput oleh IKWA di Terminal Ubung, Denpasar sebelum diajak untuk tinggal di rumahnya.
“Semasa soal siasat, I mengaku datang ke Bali demi mencari pekerjaan dan merancang untuk tinggal sementara di rumah IKWA. Dia datang ke wilayah itu atas kehendak sendiri,” kata Nengah.
Polis Karangasem menyerahkan I kepada Agensi Ketenteraman Awam dan Pejabat Perkhidmatan Sosial Kabupaten Karangasem untuk tindakan lanjut. – AGENSI
The post Gadis 17 tahun sanggup pergi Bali jumpa kekasih ‘online’ appeared first on Kosmo Online.




