
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, ada sahaja perkongsian di media sosial yang memaparkan kisah kehilangan anak gadis muda remaja.
Ada yang telah kembali ke pangkuan keluarga namun ada juga yang masih gagal ditemui sehingga kini.
Keadaan sebegini nyata mencetuskan kebimbangan dan kerisauan ramai khususnya buat ibu bapa yang mempunyai anak perempuan.
Bosan Dengan Hidup Susah & Mahu Bebas Antara Punca
Terbaharu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, hasil siasatan mendapati ada di antara remaja berkenaan melarikan diri dari rumah kerana bosan dengan kehidupan yang susah, ahli keluarga yang ramai ditambah pula dengan keadaan rumah yang sempit.
Malah, ia menjadi lebih buruk apabila golongan ini mahu bebas daripada kawalan keluarga dek kerana masalah dengan ibu, bapa atau ahli keluarga yang lain.
Gadis Dari Keluarga B40 Paling Banyak Hilang, Umur 14 & 15 Tahun Catat Statistik Tertinggi
Jelas Anfaal lagi, hasil pemantauan dan siasatan polis menunjukkan kebanyakan yang hilang adalah gadis dari kumpulan keluarga B40.
“Kebanyakan yang hilang daripada golongan B40 berdasarkan pemantauan dan siasatan polis. Ada juga gadis T20 yang hilang tetapi peratusannya lebih rendah.
“Sebab itu saya sering tekankan supaya ibu bapa perlu menyediakan rumah selamat untuk anak-anak berkembang dan kembali semula,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Malah, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Selangor, anak gadis dari kumpulan umur 14 dan 15 tahun paling ramai bertindak sedemikian dengan 170 kes bagi tahun 2023 sehingga Januari 2025.
Tambah Anfaal, apabila remaja merasakan rumah bukan lagi tempat yang selamat, maka akan berlaku ketegangan.
Ia menjadi lebih teruk apabila dipengaruhi faktor lain seperti pengaruh kekasih dan rakan serta janji manis di media sosial yang menggalakkan lagi remaja untuk lari dari rumah.
Ada Kes Remaja Hilang Dalam Tempoh 7 Hari, Paling Lama 30 Hari
Jelas Anfaal, seramai 304 daripada 419 perempuan yang hilang adalah mereka yang di bawah usia 16 tahun bagi tempoh 2023 hingga Januari 2025.
Bagi kategori umur tersebut, statistik menunjukkan tempoh masa hilang selama tujuh hari adalah 237 kes.
Manakala 82 kes untuk tempoh kehilangan selama 14 hari diikuti 21 hari (38 kes) dan 30 hari (20 kes).
“Daripada keseluruhan yang hilang, seramai 377 orang berjaya ditemui semula manakala 42 lagi masih hilang. Tiada kematian direkodkan bagi kes kehilangan bawah 16 tahun,” katanya.
Tambahnya lagi, terdapat 47 kes kehilangan berjaya ditemui semula dalam tempoh yang sama bagi umur 16 hingga 18 tahun dengan golongan yang berusia 16 tahun melibatkan 20 kes, 17 tahun (18 kes) dan 18 tahun (9 kes).
“Hanya satu kes kematian melibatkan remaja perempuan berusia 17 tahun akibat kemalangan jalan raya tahun lalu. Mangsa ditemui semula setelah enam hari dilaporkan hilang.
“Setakat ini, tiada kes mereka yang hilang dijadikan pelacur atau pengemis sindiket tertentu,” jelasnya lagi.
Lari Dari Rumah Bukti Ada Remaja Hadapi Kesukaran Dalam Hidup
Jelasnya lagi, statistik dari PDRM ini membuktikan bahawa ada remaja yang berhadapan dengan kesukaran dalam hidup.
“Justeru, amat penting keutuhan institusi kekeluargaan terus dipelihara dan diserikan dengan kasih sayang.
“Di peringkat Kerajaan Negeri Selangor, saya meletakkan perkara ini sebagai salah satu prioriti utama,” jelasnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Empat Remaja Lari Dari Rumah Anak Yatim Selepas Dilarang Guna Telefon Bimbit Kini Berjaya Ditemui
Baca Artikel Berkaitan: Pegawai JAKIM Dedah Ada Remaja 14 Tahun Sanggup ‘Serah Badan’ Kepada 31 Lelaki Hanya Kerana Topup [Video]
Source:




![Tular Rakaman Audio Staf HR Mengamuk, Enggan Keluar Surat Pecat Pekerja & Paksa Staf Karang Sendiri [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)

![“Please Buat Report” – Ramai Geram Lihat Lelaki Sengaja Tendang Kucing Masuk Longkang [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/pets.jpeg)