
REMBAU – Seorang jururawat hospital swasta di ibu negara maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 228.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.14 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Aqil Mohammad Zaki, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Hino dipandu lelaki berusia 57 tahun dan motosikal Honda CBR250RR yang ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati treler terbabit dalam perjalanan dari Segamat, Johor menuju Banting, Selangor membawa muatan sawit dan berada di lorong kiri. Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu terdengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang sebelum memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Jururawat lelaki maut, Honda CBR rempuh treler appeared first on Kosmo Digital.






