
PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan memperincikan mekanisme pelaksanaan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sidang media akan diadakan bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai pembaharuan kerangka pendapatan pekerja yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu.
Menurutnya, langkah tersebut disambut baik bagi memastikan upah lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran pekerja.
Selain pembaharuan itu, beliau berkata, gaji minimum turut dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, iaitu peningkatan RM300 atau 17.6 peratus.
“Lebih empat juta pekerja tertakluk kepada kadar baharu ini. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada penyesuaian model perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Ramanan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan yang memanfaatkan 230,000 pekerja.
Sehubungan itu, beliau menyeru majikan swasta supaya turut menyediakan gaji lebih wajar, seiring dengan produktiviti dan sumbangan pekerja.
Mengenai kebajikan pekerja gig, beliau berkata, pakej pembiayaan bersama kerajaan dan Grab bernilai RM160 juta bermula 2027 akan menyokong peningkatan pendapatan bersih serta kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing.
“Pakej ini meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan.
“Majlis Perundingan Gig sedang merundingkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial pekerja gig untuk dimuktamadkan pada awal 2027,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, pembangunan kemahiran diperkukuh menerusi peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) rentas kementerian berjumlah RM8 bilion.
Menurutnya, HRD Corp dengan dana levi RM3 bilion akan menyokong tiga juta peluang latihan.
“Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut menyediakan RM500 juta bagi membiayai pelatih di institusi latihan kemahiran awam dan swasta yang berdaftar dengannya.
“Keutamaan Kesuma ialah memastikan peningkatan gaji disokong oleh kemahiran yang relevan serta perlindungan sosial yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN
The post Kesuma perinci pelaksanaan gaji minimum RM2,500 appeared first on Utusan Malaysia.






