
Mahasiswa IPT harap Belanjawan 2027 perluas bantuan kewangan seperti STR, SARA dan PTPTN bagi mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat.
KUALA LUMPUR: Menjelang pembentangan Belanjawan 2027, mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) menaruh harapan agar kerajaan memperluas bantuan kewangan bagi mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Selain mengharapkan peningkatan nilai bantuan sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), golongan itu turut mendambakan insentif baharu yang lebih segar bagi meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Muhammad Ammar Romli, 22, berkata biarpun inisiatif seperti Baucar Buku dan Menu Siswa Rahmah memberi impak positif, ia masih belum memadai untuk menampung keseluruhan kos harian yang merangkumi makanan, pengangkutan, penginapan dan keperluan akademik.
“Bantuan makanan seperti Menu Siswa Rahmah memberi impak ketara kerana dapat mengurangkan perbelanjaan harian mahasiswa secara terus, namun masih banyak ruang dan peluang yang mampu ditambah baik,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penambahan jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukanlah penyelesaian mutlak, namun kerajaan boleh menyediakan bantuan tambahan atau subsidi secara bersasar bagi menampung kos pengajian dan sara hidup tanpa beban kewangan selepas tamat pengajian.
Nada sama dikongsi penuntut Universiti Selangor (UNISEL) Abhinaayasri Srivenkatarao yang mengakui banyak inisiatif disediakan Kerajaan MADANI bagi membantu memenuhi keperluan mahasiswa, namun masih terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Pinjaman PTPTN banyak membantu namun bagi sesetengah pelajar, ia tidak lagi mencukupi untuk menampung kos pendidikan dan sara hidup,” katanya.
Sementara itu, golongan ibu bapa menyifatkan pembiayaan pendidikan tinggi sebagai satu perjuangan besar, terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak yang masih belajar.
Zareah Kandam, 49, berkata beban kewangan amat dirasai apabila melibatkan yuran pengajian, peralatan belajar dan wang saku harian anak-anak yang perlu diatur dengan teliti setiap bulan.
“Beban ini lebih terasa bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang sedang belajar di IPT.
“Inisiatif kerajaan seperti pinjaman pendidikan, biasiswa, bantuan kewangan, subsidi dan pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar sememangnya banyak membantu tetapi masih terdapat keluarga yang memerlukan sokongan tambahan, terutama apabila kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Zareah berharap Belanjawan 2027 dapat memperkenalkan bantuan lebih menyeluruh termasuk bantuan khas pendaftaran awal universiti, subsidi yuran asrama serta peningkatan kadar bantuan sara hidup.
“Bantuan pengangkutan untuk pelajar yang belajar jauh daripada rumah juga amat membantu dan proses permohonan bantuan pula perlu dipermudahkan serta dibuat berdasarkan pendapatan dan bilangan anak yang sedang melanjutkan pengajian,” katanya.
Sentimen mahukan tumpuan terhadap kebajikan pelajar turut menjadi topik hangat di platform media sosial Threads, yang rata-rata meminta kerajaan memberikan perhatian serius kepada isu kelangsungan hidup mahasiswa.
Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Baucar Buku MADANI, MySiswa Job On Campus dan Ikhtiar Dapur Siswa MADANI untuk menyokong golongan berkenaan.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan pada 9 Oktober ini.






