Kami telah banyak melaporkan tentang cip pemprosesan NVIDIA N1 yang dijangka akan diperlihatkan sewaktu acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada penghujung bulan Mei ini. Ia merupakan siri cip pemprosesan System on a Chip (SoC) yang dibina dengan kerjasama dengan sebuah lagi syarikat pereka cip terkemuka, iaitu MediaTek.
Beberapa jenama komputer riba terkemuka telahpun “mengacahkan” kehadiran model mereka sendiri yang dikuasakan oleh cip pemprosesan ini, tetapi terkini kita dapat melihat sendiri rekaan papan induk yang hadir dengan cip pemprosesan ini secara fizikal.

Gambar-gambar ini diperlihatkan melalui platform jual-beli komponen komputer Goofish dari China, dimana papan induk ini telah melalui proses bidaan dan dijual. Papan induk ini memperlihatkan cip pemprosesan siri NVIDIA N1, dan memori SK Hynix sebanyak 128GB.

Dalam pada itu, papan induk ini juga memperlihatkan dua slot storan SSD M.2 2280 dan juga ruangan mencukupi untuk sistem penyejukan komponen yang sangat besar sekali. Apa yang diketahui mengenai cip SoC NVIDIA N1 ini juga setakat ini ialah ia dijangka hadir dengan sebanyak 20 teras fizikal, dan juga cip pemprosesan grafik dengan keupayaan setaraf NVIDIA GeForce RTX 5070.

Papan induk ini juga merumahkan palam-palam HDMI, USB Type-A, USB Type-C dan palam audio 3.5mm di satu bahagian. Jangkaan orang ramai juga ialah cip pemprosesan ini akan menggunakan tenaga elektrik yang banyak, walaupun dalam rekabentuk sebuah komputer riba kerana jumlah cip VRM yang sangat banyak.
Seperti yang dikatakan, NVIDIA dijangka akan memperlihatkan cip komputer riba NVIDIA N1 ini sewaktu acara Computex Taipei kelak, dimana ia dijangka jenama-jenama komputer juga akan memperlihatkan penawaran mereka sendiri yang menggunakan cip ini.


