Gamuda menang satu lagi kontrak bina pusat data RM1.71 bilion di Port Dickson

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 2:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda menang satu lagi kontrak bina pusat data RM1.71 bilion di Port Dickson Image from: Gamuda menang satu lagi kontrak bina pusat data RM1.71 bilion di Port Dickson liza05/08/2026 - 14:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Gamuda Berhad memperoleh kontrak bernilai RM1.71 bilion untuk membina sebuah pusat data berskala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat.

 

Kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Gamuda Engineering Sdn Bhd yang akan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam segmen pembinaan pusat data yang berkembang pesat di Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan sebuah pusat data setingkat berskala besar yang direka untuk memenuhi keperluan operasi teknologi berkapasiti tinggi.

 

Syarikat itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pelanggan atas faktor kerahsiaan, sebaliknya hanya memaklumkan pelanggan berkenaan merupakan sebuah syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

 

“Projek itu dijangka bermula pada suku ketiga 2026 dan disasarkan siap pada suku kedua 2028,” katanya.

 

Ini adalah kontrak pusat data hiperskala kedua yang dimenangi Gamuda di Port Dickson tahun ini selepas syarikat memperoleh kontrak bernilai RM1.72 bilion pada April lalu, juga daripada sebuah lagi syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat. 

 

Kedua-dua pelanggan bagaimanapun tidak didedahkan, menjadikan nilai keseluruhan kontrak pusat data yang diperoleh Gamuda di lokasi berkenaan tahun ini mencecah kira-kira RM3.43 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda raih kontrak RM1.72 bilion bina pusat data hiperskala di Port Dickson

 

Skop Kerja Merangkumi Pembinaan Bangunan Dan Sistem Utama

Menurut Gamuda, kontrak tersebut adalah berasaskan konsep bina sahaja iaitu syarikat bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut reka bentuk yang telah ditetapkan oleh pemilik projek.

 

Skop kerja merangkumi pembinaan infrastruktur tapak, struktur utama bangunan serta kerja pemasangan sistem mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP).

 

Pusat data hiperskala merupakan kemudahan yang direka untuk menempatkan sejumlah besar pelayan komputer dan peralatan teknologi bagi menyokong operasi pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital berskala besar.

 

t

 

Permintaan terhadap pusat data terus meningkat di Malaysia berikutan pertumbuhan pesat pelaburan syarikat teknologi global yang menjadikan negara ini sebagai antara hab digital utama di rantau Asia Tenggara.

 

Gamuda berkata, projek itu tertakluk kepada risiko biasa dalam industri pembinaan termasuk turun naik harga bahan binaan, namun risiko tersebut dijangka dapat diurus dengan berkesan menerusi pengalaman serta kepakaran syarikat dalam melaksanakan projek berskala besar.

 

Dijangka Menyumbang Kepada Pendapatan Dan Keuntungan

Dari sudut kewangan, projek berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil dan keuntungan Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 sehingga projek itu siap.

 

Kontrak baharu itu juga dijangka mengukuhkan lagi buku tempahan kumpulan, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Gamuda turut memaklumkan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved