Gamuda peroleh kontrak baharu MRT bawah tanah bernilai RM2.61 bilion di Taiwan

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 5:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda peroleh kontrak baharu MRT bawah tanah bernilai RM2.61 bilion di Taiwan Image from: Gamuda peroleh kontrak baharu MRT bawah tanah bernilai RM2.61 bilion di Taiwan sarah16/11/2026 - 17:22 Gambar ilustrasi daripada kenyataan Gamuda Berhad Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov - Gamuda Bhd memperoleh kontrak baharu bernilai RM2.61 bilion bagi mereka bentuk dan membina laluan Transit Aliran Massa (MRT) bawah tanah di Taiwan menerusi usaha sama dengan syarikat pembinaan tempatan, Feng Shun Construction Co Ltd.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda memegang kepentingan 80% dalam usaha sama itu, bersamaan bahagian kontrak bernilai RM2.09 bilion, manakala baki 20% dimiliki Feng Shun.

 

Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Jabatan Sistem Transit Aliran Massa Kerajaan Bandar Raya New Taipei pada 16 November 2026, melibatkan pembinaan laluan MRT Keelung antara Stesen SB32 dan SB33.

 

Projek bernilai NT$21.02 bilion (RM2.61 bilion) itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 2,700 hari atau kira-kira 7.4 tahun, dengan bahagian Gamuda berjumlah NT$16.82 bilion (RM2.09 bilion).

 

gam

 

Bina dua stesen MRT bawah tanah

Projek itu merangkumi kerja pembinaan bawah tanah sepanjang 2.4 kilometer yang menghubungkan Daerah Nangang di Taipei dengan Daerah Xizhi di New Taipei, termasuk pembinaan dua stesen MRT bawah tanah.

 

Skop kerja turut melibatkan pembinaan terowong sepanjang 1.1 kilometer, kerja pembinaan secara korek dan tutup sepanjang 0.4 kilometer serta satu lagi bahagian sepanjang 0.4 kilometer menggunakan kaedah pembinaan terbuka.

 

Kontrak baharu susuli projek RM3.72 bilion

Kontrak terbaharu itu menyusul selepas Gamuda memperoleh projek sistem dan landasan MRT Keelung bernilai RM3.72 bilion pada 14 Oktober 2026 menerusi usaha sama dengan MiTAC Information Technology Corp, dengan bahagian Gamuda berjumlah kira-kira RM2.71 bilion.

 

Kedua-dua kontrak mempunyai skop berbeza, dengan projek Oktober melibatkan sistem dan landasan sepanjang 15.6 kilometer merangkumi 13 stesen, manakala kontrak November tertumpu kepada pembinaan laluan bawah tanah dan dua stesen.

 

Berdasarkan kedua-dua pengumuman tersebut, jumlah nilai kontrak MRT Keelung yang diperoleh menerusi usaha sama melibatkan Gamuda sejak Oktober mencecah kira-kira RM6.33 bilion, dengan bahagian kumpulan berjumlah RM4.80 bilion.

 

Sumbangan kepada pendapatan mulai tahun kewangan 2027

Gamuda menjangkakan projek baharu itu menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 sehingga projek disiapkan, tertakluk kepada risiko pembinaan bawah tanah, perubahan kos pembinaan dan ketersediaan tenaga kerja mahir.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved