PETROS, SoftBank meterai perjanjian bangunkan infrastruktur AI bernilai RM7.53 bilion

LocalTechnology
10 Nov 2026 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETROS, SoftBank meterai perjanjian bangunkan infrastruktur AI bernilai RM7.53 bilion Image from: PETROS, SoftBank meterai perjanjian bangunkan infrastruktur AI bernilai RM7.53 bilion sarah10/11/2026 - 09:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov – Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), SoftBank Group Corp dari Jepun dan Grab Holdings Limited memeterai perjanjian pembangunan bersama bagi merealisasikan rancangan pelaburan modal permulaan sebanyak AS$1.85 bilion (RM7.53 bilion) untuk membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

 

Daripada jumlah itu, AS$1 bilion (RM4.07 bilion) diperuntukkan bagi projek di Sarawak, dengan PETROS menyumbang AS$100 juta (RM407 juta), manakala SoftBank menyediakan AS$800 juta (RM3.26 bilion) dan Grab sebanyak AS$100 juta (RM407 juta).

 

Menurut kenyataan bersama ketiga-tiga syarikat bertarikh 9 November 2026, kerjasama itu merupakan kesinambungan daripada perjanjian rangka kerja yang dimeterai di Kuching pada 8 Oktober lalu, sekali gus membawa rancangan pembangunan infrastruktur AI di Sarawak ke fasa seterusnya.

 

PETROS perluas peranan dalam pembangunan infrastruktur strategik

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie berkata, pembangunan infrastruktur AI itu merupakan sebahagian daripada usaha menyediakan Sarawak untuk fasa transformasi ekonomi seterusnya, dengan memperluas peluang pertumbuhan dalam sektor teknologi dan ekonomi digital.

 

"Penyediaan keupayaan AI dan pengkomputeran termaju kepada perniagaan, industri serta tenaga kerja tempatan berpotensi meningkatkan daya saing dan membolehkan penyertaan lebih besar dalam ekonomi digital," katanya dalam kenyataan.

 

PETROS turut memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur tenaga Sarawak menerusi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak bagi meningkatkan keselamatan bekalan tenaga serta menyokong pengembangan sektor perindustrian negeri itu.

 

Hab Rendah Karbon Kuching sokong pembangunan industri

Sebagai pemaju induk Hab Rendah Karbon Kuching, PETROS juga terlibat dalam pembangunan ekosistem perindustrian bersepadu merangkumi aktiviti huluan, pemerangkapan karbon, penjanaan elektrik menggunakan gas asli cecair (LNG), pemprosesan hiliran, taman perindustrian, terminal gas dan infrastruktur pelabuhan laut dalam.

 

Sementara itu, projek infrastruktur AI di Semenanjung Malaysia melibatkan cadangan modal permulaan AS$850 juta (RM3.46 bilion), dengan Grab menyumbang AS$650 juta (RM2.65 bilion) dan SoftBank AS$200 juta (RM814 juta), manakala Grab akan menerajui pembangunannya serta mendapatkan pelabur strategik jangka panjang.

 

Pembangunan keseluruhan projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, sejajar dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 Sarawak, selain dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab AI serantau. 

 

SoftBank kekal pemegang saham majoriti projek Sarawak

SoftBank dijangka kekal sebagai pemegang saham majoriti projek Sarawak, walaupun Grab mempunyai pilihan untuk meningkatkan pegangannya pada masa depan yang akan mengurangkan kepentingan SoftBank dalam projek berkenaan.

 

Pelaburan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada pencapaian sasaran pembangunan, kontrak pelanggan dan syarat berkaitan, selain usaha mendapatkan pelabur tambahan serta pelanggan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan berskala besar.

 

Kerjasama berkenaan turut menyasarkan pembangunan kapasiti pengkomputeran AI sekurang-kurangnya lima gigawatt (GW) dalam jangka panjang di Malaysia, dengan kemudahan yang dirancang berpotensi menjadi antara infrastruktur AI terbesar seumpamanya di Asia apabila beroperasi sepenuhnya.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved