ETA peroleh 3 kontrak pembinaan kilang, gudang dan pejabat berjumlah RM67 juta di Klang

22 Sep 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ETA peroleh 3 kontrak pembinaan kilang, gudang dan pejabat berjumlah RM67 juta di Klang Image from: ETA peroleh 3 kontrak pembinaan kilang, gudang dan pejabat berjumlah RM67 juta di Klang amree22/09/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept — Nilai transaksi berulang pihak berkaitan (RRPT) ETA Group Berhad mencecah 86% selepas memeterai kontrak pembinaan tiga projek di Klang, Selangor bernilai RM66.69 juta.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, tender reka bentuk dan bina itu diraih anak syarikatnya, ETA Design & Build Sdn Bhd (ETA D&B) daripada ETA Industries Sdn Bhd pada 22 September 2026.

 

Pada masa sama ujarnya, ETA D&B menganugerahkan tiga subkontrak kepada ETA World Sdn Bhd dengan nilai agregat sebanyak RM63.51 juta bagi melaksanakan kerja pembinaan projek berkenaan.

 

"Projek ini dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas keseluruhan kira-kira 48,835 meter persegi di Mukim Kapar dengan merangkumi pembinaan kilang, gudang serta ruang pejabat," jelas ETA.

 

Skop pembangunan terdiri daripada 14 unit kilang berkembar setingkat dengan pejabat di tingkat dua dan tiga, selain empat unit kilang berkembar setingkat yang mempunyai gudang serta ruang pejabat.

 

Jelasnya, kontrak baharu berkenaan menambah RM66.69 juta kepada buku tempahan segmen hartanah dan pembinaan serta dijangka menjana margin kasar agregat RM3.18 juta sepanjang tempoh pelaksanaan.

 

ETA_DagangNews2026

 

Kerja-kerja pembinaan itu dijangka mengambil masa 24 bulan dari tarikh kelulusan pelan bangunan bagi setiap projek, tertakluk kepada sebarang lanjutan tempoh yang diluluskan mengikut kontrak.

 

"Kontrak ini turut membolehkan ETA D&B, yang baru ditubuhkan, membina pengalaman dalam pembangunan hartanah industri bagi membolehkannya menyertai tender oleh pihak luar pada masa depan," katanya.

 

Susulan itu, jumlah sebenar RRPT dari 22 Mei hingga 22 September 2026 meningkat kepada RM130.20 juta, berbanding anggaran RM70 juta dalam pekeliling pemegang saham bertarikh 30 April 2026.

 

Ini bermakna nilai sebenar RRPT melebihi anggaran RM60.20 juta atau 86% dengan lebihan itu berpunca daripada tiga kontrak projek industri yang diperoleh selepas penerbitan pekeliling berkenaan.

 

Bagaimanapun, ETA berkata tiga kontrak tersebut tidak dijangka memberi sebarang kesan material kepada hasil dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026, 

 

"Sebaliknya, tender berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kerja pembinaan berlangsung," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved