
PETALING JAYA: Gamuda Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gamuda Engineering Sdn. Bhd. (GESB), memperoleh kontrak bernilai RM1.71 bilion bagi pembinaan sebuah pusat data skala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, kontrak itu dianugerahkan oleh sebuah syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pada 5 Ogos 2026.
“Projek berasaskan kontrak bina sahaja itu melibatkan pembinaan sebuah kemudahan pusat data skala besar setingkat, termasuk kerja-kerja infrastruktur tapak, pembinaan struktur utama dan bangunan serta kerja pemasangan mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP).
“Pembinaan dijadual bermula pada suku ketiga 2026 dan dijangka siap pada suku kedua 2028,” katanya.
Menurut Gamuda, projek berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 sehingga projek itu disiapkan.
Syarikat berkata, projek tersebut tertakluk kepada risiko pembinaan biasa seperti turun naik harga bahan binaan, namun risiko itu akan diuruskan secara berkesan menerusi pengalaman dan kepakaran Gamuda dalam melaksanakan projek pembinaan berskala besar.
Gamuda memaklumkan tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat serta individu yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam projek berkenaan.
“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan projek tersebut,” ujarnya. – UTUSAN
The post Gamuda raih projek pembinaan pusat data skala besar di Port Dickson appeared first on Utusan Malaysia.





