amree06/08/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos — Isu gangguan operasi yang menjejaskan pelaksanaan projek UUE Holdings Berhad di Singapura dilihat lebih bersifat sementara akibat faktor luaran, menurut Public Investment Bank.
Ujar firma berkenaan, masalah itu bukan melibatkan kelemahan dalaman dan syarikat tersebut berada pada landasan lebih kukuh apabila peningkatan margin keuntungan di Malaysia mampu menjana hasil.
Prestasi kumpulan kini lebih mampan daripada jangkaan awal, didorong kemajuan kerja kejuruteraan yang pantas, campuran projek bernilai tinggi serta peningkatan kadar penggunaan kilang paip HDPE.
"UUE merekodkan keuntungan bersih (PAT) RM9.3 juta bagi 1QFY27, meningkat 22% berbanding suku sebelumnya dan melonjak hampir 448% berbanding tempoh sama tahun lalu," jelas nota PublicInvest.
Keputusan itu mengatasi jangkaan firma tersebut daripada unjuran keuntungan tahun penuh, sekali gus mencerminkan prestasi operasi keseluruhan syarikat berkenaan yang lebih baik daripada anggaran.
Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran keuntungan FY27, FY28 dan FY29 masing-masing 29.8%, 35.8% dan 40.8%, selain meningkatkan saranan terhadap saham UUE kepada 'outperform' daripada 'neutral'.

PublicInvest turut menyemak harga sasaran (TP) sesaham kepada 71 sen berbanding 55 sen sebelum ini, dengan segmen kerja-kerja UUE di Malaysia akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan.
"Ini disokong pelbagai projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) membentuk 50% daripada buku tempahan bernilai RM515 juta, selain projek pusat data dan pencawang industri berjumlah RM17 juta," katanya.
Campuran projek lebih baik membolehkannya menikmati harga kontrak tinggi serta tempoh pelaksanaan singkat, disokong lapan pasukan dalaman dan kira-kira 55 pasukan luar tanpa kos tambahan ketara.
Di Singapura ujar PublicInvest, aktiviti UUE akan pulih selepas isu arahan henti kerja pada April 2026 susulan kes kemalangan berhampiran tapak projek, dengan operasi sebenarnya sudah bermula Julai 2026.
Firma itu turut melihat integrasi pengeluaran paip HDPE sebagai kelebihan daya saing apabila hampir separuh digunakan sendiri bagi projek kejuruteraan, dan membantu mengekalkan keuntungan kumpulan.
"Selain itu, kadar penggunaan kilang HDPE naik kepada 65%, manakala harga resin yang lebih stabil dijangka terus menyokong margin walaupun keuntungan segmen pembuatan kembali normal," jelasnya.
Secara keseluruhannya, PublicInvest berpandangan prospek UUE kekal positif berikutan buku tender bernilai kira-kira RM700 juta, kadar kemenangan tender disasarkan hingga 30%. - DagangNews.com






