amree04/08/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sektor hartanah dijangka terus berdaya tahan meskipun sedang melalui fasa kitaran penurunan susulan permintaan jualan yang perlahan dan ketidaktentuan sentimen pasaran.
Bagaimanapun menurut analisis RHB Research, asas permintaan yang kukuh dijangka mempercepatkan proses pemulihan apabila faktor geopolitik global dan politik domestik kembali stabil akhir tahun.
Justeru, ia mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu dengan Eco World Development Group Berhad sebagai pilihan utama, berikutan prospek jualan syarikat yang dilihat masih kukuh.
"Semua pemaju di bawah liputan kami mengekalkan sasaran jualan dan pelancaran projek, mencerminkan keyakinan ke atas permintaan pasaran walaupun mereka berdepan cabaran jangka pendek," katanya.
RHB Research berpandangan kelembapan semasa hanya bersifat sementara kerana permintaan dalam segmen perindustrian masih kukuh, didorong pengembangan operasi syarikat tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, permintaan hartanah mewah kekal tinggi susulan pembelian oleh golongan ingin menaik taraf kediaman, manakala segmen kediaman berharga rendah lebih terdedah perubahan sentimen pasaran.

Firma itu menjangkakan permintaan terhadap hartanah kembali pulih, khususnya segmen pertengahan, sebaik sahaja ketegangan di Timur Tengah berkurangan dan landskap politik tempatan kembali stabil.
"Keputusan pilihan raya di dua negeri baru-baru ini berpotensi mempengaruhi sentimen pelabur dan memberi tekanan sementara seperti pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini," kata RHB Research.
Pasaran hartanah di Iskandar Malaysia namun dijangka terus mencatat prestasi lebih baik berbanding kawasan-kawasan lain, disokong pelaksanaan pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurutnya, minat pelaburan dalam sektor pembuatan dan pusat data (DC) dijangka meningkat, serta menyokong permintaan rumah bertanah, kediaman bertingkat, premis komersial serta perindustrian.
Ujar RHB Research, UEM Sunrise Berhad dilihat antara penerima manfaat utama di Johor, manakala dari sudut penilaian, sektor hartanah kini diniagakan pada diskaun 55% berbanding nilai aset bersih.
"Peningkatan penilaian sektor hartanah kebelakangan ini banyak disokong oleh kenaikan harga saham tertentu tetapi kebanyakan pemaju belum mengalami penilaian semula yang ketara," katanya. - DagangNews.com






