
IPOH: Polis telah merakam keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan membabitkan pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, antara individu yang dirakam keterangan ialah pengetua berusia 56 tahun itu yang merupakan seorang penjawat awam.
Katanya, siasatan kes itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu remaja terbabit pada 24 Oktober lalu.
“Setakat ini seramai sembilan orang telah dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengetua berkenaan turut membuat laporan polis pada 25 Oktober lalu berhubung ketidakpuasan hatinya terhadap video berkaitan kes itu yang tular di media sosial.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, keluarga pelajar terbabit dipercayai bersemuka dengan pengetua tersebut susulan dakwaan lelaki itu menghubungi pelajar tersebut untuk meluahkan perasaan cinta dan sayang.
“Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 238 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kedua-dua perkara ini, lebih-lebih lagi kes berkenaan membabitkan seorang penjawat awam,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengetua terhadap pelajar.
Fadhlina turut memaklumkan pengetua berkenaan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan JPN selesai dijalankan. – UTUSAN
The post Gangguan seksual pelajar: Polis rakam keterangan sembilan individu appeared first on Utusan Malaysia.






