IPOH - Polis sedang menyiasat dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk berusia 56 tahun terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15A(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 susulan laporan yang diterima daripada ibu mangsa pada 24 Oktober lalu.
Menurutnya, pengetua terbabit turut membuat laporan polis pada 25 Oktober lalu berhubung ketidakpuasan hatinya terhadap video berkaitan kes itu yang tular di media sosial.
“Laporan yang dibuat pengetua itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, kita akan meneliti perkara ini secara terperinci menerusi siasatan yang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes berkenaan yang mendapat perhatian selepas video berkaitan dakwaan itu tular di media sosial.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, keluarga pelajar berkenaan dipercayai telah menyerang pengetua itu susulan dakwaan bahawa lelaki terbabit menghubungi pelajar berkenaan.
Beliau berkata, siasatan masih berjalan dengan sembilan individu sudah dirakam percakapan dan pihak polis akan meneliti semua aspek berkaitan kes berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan pengetua melakukan gangguan seksual terhadap pelajar
Fadhlina dilaporkan turut memaklumkan pengetua berkenaan juga sudah ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan oleh JPN selesai.






