Polis rakam keterangan 9 individu kes pengetua ‘ganggu’ pelajar

27 Oct 2026 • 12:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Polis rakam keterangan 9 individu kes pengetua ‘ganggu’ pelajar

IPOH – Polis telah merakam keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan membabitkan pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, antara individu yang dirakam keterangan ialah pengetua berusia 56 tahun itu yang merupakan seorang penjawat awam.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu remaja terbabit pada 24 Oktober lalu.

“Setakat ini seramai sembilan orang telah dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengetua berkenaan turut membuat laporan polis pada 25 Oktober lalu berhubung ketidakpuasan hatinya terhadap video berkaitan kes itu tular di media sosial.

“Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kedua-dua perkara ini, lebih-lebih lagi kes berkenaan membabitkan seorang penjawat awam,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengetua terhadap pelajar.

Fadhlina turut memaklumkan pengetua berkenaan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan JPN selesai dijalankan. – KOSMO! ONLINE

The post Polis rakam keterangan 9 individu kes pengetua ‘ganggu’ pelajar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved