hamden17/09/2026 - 15:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - Gas Malaysia Bhd bekerjasama dengan Air Liquide Engineering & Construction dari Perancis bagi meneroka peluang dalam hidrogen rendah karbon, pengambilan karbon dioksida dan gas asli cecair bio (bio-LNG) di Malaysia.
Gas Malaysia berkata kerjasama itu melibatkan penilaian projek berpotensi yang menggabungkan capaian pasaran dan infrastruktur gasnya dengan kepakaran Air Liquide dalam teknologi gas industri serta kejuruteraan.
Memorandum persefahaman (MoU) berkenaan ditandatangani di luar persidangan Gastech 2026 di Bangkok, Thailand.
“Selain itu, kedua-dua syarikat akan memanfaatkan teknologi Air Liquide bagi penyelesaian hidrogen rendah karbon.
“Kedua-dua pihak turut akan menilai prospek lebih luas yang membolehkan penyahkarbonan industri dan ekonomi rendah karbon menerusi penyelesaian kejuruteraan serta teknologi termaju,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed berkata kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat mengembangkan perniagaan melangkaui bekalan gas konvensional kepada gas boleh baharu, hidrogen dan penyelesaian industri rendah karbon lain.
“Melalui rangka kerja kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan meneroka peluang yang menggabungkan capaian pasaran serta rangkaian infrastruktur gas Gas Malaysia dengan keupayaan global Air Liquide dalam teknologi dan kejuruteraan bagi membantu pelanggan menghadapi peralihan tenaga,” katanya.
Menurut Gas Malaysia, kerjasama itu selaras dengan strategi GM32 dan inisiatif penyahkarbonan yang sedang dilaksanakan.
Ia juga sejajar dengan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia, khususnya usaha negara memperluas penggunaan alternatif tenaga rendah karbon dan menyokong penyahkarbonan industri.
Kerjasama itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk menilai peluang baharu dalam penyelesaian tenaga dan teknologi rendah karbon, termasuk penggunaan teknologi Air Liquide bagi menyokong pembangunan hidrogen rendah karbon di Malaysia. - DagangNews.com





