sarah26/11/2026 - 14:31 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Gas Malaysia Bhd membuka peluang baharu untuk membawa gas hijau Malaysia ke pasaran antarabangsa menerusi pembekalan biometana bagi menyokong transaksi jualan gas asli cecair berasaskan bio (BioLNG) ke Jepun.
Pembekalan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd (GMES), itu merupakan yang pertama bagi kumpulan melibatkan biometana dengan pensijilan antarabangsa bagi menyokong jualan BioLNG di luar negara.
Biometana berkenaan memperoleh Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC), iaitu skim pensijilan yang mengesahkan aspek kelestarian serta kebolehkesanan sumber bahan dan produk, termasuk biometana yang dihasilkan daripada sisa organik.
Gas Malaysia berkata, biometana yang dibekalkan GMES diperoleh menerusi Gas Malaysia Green Ventures Sdn Bhd (GMGV), anak syarikat milik penuhnya yang menerajui perniagaan gas hijau kumpulan sejak 2019.
Sisa kelapa sawit berpotensi jana peluang komersial
GMGV terlibat dalam pengeluaran dan perdagangan biometana serta perkhidmatan pensijilan alam sekitar, selain membangunkan stesen suntikan biometana berpusat pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Syarikat itu terus memperluas rangkaian bekalannya menerusi kerjasama dengan pengeluar biometana yang menggunakan hasil sampingan kilang kelapa sawit, sisa organik dan bahan mentah lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed berkata, bekalan hasil sampingan kelapa sawit dan sisa organik yang banyak menawarkan potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran biometana serta memperkukuh rantaian nilai gas boleh baharu negara.
“Dengan infrastruktur sedia ada, kami boleh menghubungkan sumber ini dengan permintaan tenaga sektor perindustrian dan mewujudkan peluang komersial baharu seperti transaksi jualan pasaran spot.
“Ini memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perluas perniagaan gas hijau
Azli berkata, kumpulan berbangga dapat memainkan peranan dalam memanfaatkan potensi gas hijau Malaysia, sekali gus membuka laluan ke pasaran antarabangsa.
Gas Malaysia akan terus memperluas portfolio gas hijaunya dan meneroka peluang pasaran baharu bagi menyokong aspirasi peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya dalam pembangunan sektor biotenaga.
Ditubuhkan pada 1992, Gas Malaysia yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan MMC kini turut memberi tumpuan kepada pengembangan perniagaan biometana, penjanaan bersama tenaga, perkhidmatan saluran paip maya dan bahan termaju sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan 10 tahunnya. - DagangNews.com






