sarah26/11/2026 - 14:05 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Aquawalk Group Bhd mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM173.7 juta tanpa pinjaman bank setakat 30 September 2026, meskipun sasaran penyiapan dua projek pengembangannya di Malaysia dan Indonesia ditangguhkan.
Pengendali Aquaria KLCC itu kini menyasarkan ruang pameran penguin baharunya siap pada suku keempat 2027, manakala sasaran penyiapan Aquaria Jawa Timur Park di Indonesia disemak semula kepada pertengahan 2028.
Aquawalk berkata, perubahan jadual pembangunan ruang pameran penguin berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan kawal selia, pelesenan dan operasi, manakala pembangunan akuarium di Indonesia kekal sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan jangka panjang kumpulan.
Kumpulan turut menjana aliran tunai operasi bersih sebanyak RM26.3 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (FY26) bagi menyokong usaha menambah baik tarikan sedia ada serta rancangan pengembangan perniagaannya di rantau ini.
Tarikan baharu galakkan kunjungan berulang
Sebagai sebahagian daripada usaha menarik lebih ramai pengunjung, Aquaria KLCC melancarkan Discovery Zone 6 pada 13 September 2026, meliputi kawasan kira-kira 2,500 kaki persegi yang menampilkan teknologi realiti terimbuh, pemetaan unjuran visual dan elemen pendidikan interaktif, khususnya untuk rombongan sekolah.
Di Thailand, Aquaria Phuket pula melancarkan Maya Recall Museum pada 8 September 2026 dengan kerjasama KNOWCK Co Ltd, membabitkan ruang pameran seni interaktif seluas kira-kira 9,267 kaki persegi yang menampilkan tujuh zon penerokaan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aquawalk, Datuk Simon Foong berkata, pembukaan kedua-dua tarikan baharu itu menyediakan lebih banyak peluang kepada kumpulan untuk menawarkan pengalaman kepada pengunjung selain tarikan akuarium sedia ada, disokong promosi bersasar dan pengenalan kandungan baharu bagi menggalakkan kunjungan berulang.
Kos perjalanan tinggi jejas jumlah pengunjung
Bagi suku ketiga FY26, Aquawalk menerima 406,880 pengunjung, meningkat 22.7% berbanding 331,593 pada suku sebelumnya, terdiri daripada 349,081 pengunjung di Aquaria KLCC dan 57,799 di Aquaria Phuket.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan menyusut 2.9% kepada RM28.7 juta berbanding RM29.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya susulan jumlah pengunjung yang lebih rendah akibat ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos perjalanan, namun kesannya sebahagiannya diimbangi peningkatan purata hasil tiket kepada RM56.30 berbanding RM52.50.
Keuntungan bersih suku ketiga pula berjumlah RM8.1 juta berbanding RM11.6 juta setahun sebelumnya, dipengaruhi sumbangan keuntungan syarikat bersekutu yang lebih rendah, peningkatan perbelanjaan operasi dan kadar cukai efektif yang lebih tinggi.
Namun, berbanding suku sebelumnya, keuntungan bersih meningkat 44.7% daripada RM5.6 juta, manakala pendapatan meningkat 20.2% daripada RM23.9 juta, disokong peningkatan jumlah pengunjung ketika sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Bagi sembilan bulan pertama FY26, Aquawalk mencatatkan keuntungan bersih RM19.7 juta dengan pendapatan RM77.9 juta, berbanding masing-masing RM32.5 juta dan RM81.5 juta setahun sebelumnya, manakala jumlah pengunjung di kedua-dua akuariumnya mencecah 1,076,221 orang. - DagangNews.com






