GCCC, CIDB Holdings meterai MoU perluas akses antarabangsa pengujian, pensijilan dan latihan industri binaan

LocalBusiness & Finance
31 Dec 2025 • 10:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GCCC, CIDB Holdings meterai MoU perluas akses antarabangsa pengujian, pensijilan dan latihan industri binaan image is not available haziq31/12/2025 - 10:45 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Dis – Global Construction Certification Centre Sdn Bhd (GCCC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama CIDB Holdings Sdn Bhd bagi memperluas akses antarabangsa kepada perkhidmatan pengujian produk binaan, pensijilan serta latihan industri.

 

Dalam kenyataan, GCCC berkata kerjasama strategik itu bertujuan menyokong peluasan perkhidmatan teknikal dan profesional industri binaan ke pasaran antarabangsa menerusi pendekatan promosi, pemudah cara pasaran serta kolaborasi teknikal, selaras dengan keperluan piawaian dan amalan industri yang berkaitan.

 

Di bawah kerangka MoU berkenaan, GCCC akan bertindak sebagai rakan promosi antarabangsa tidak eksklusif bagi memudahkan penglibatan dan hubungan dengan pengilang, institusi, agensi serta pemain industri luar negara yang berminat mendapatkan perkhidmatan pengujian, pensijilan dan latihan industri binaan.

 

Pengerusi GCCC, Tan Sri Liow Tiong Lai berkata, GCCC komited menyokong usaha memperkukuh pengiktirafan dan kefahaman terhadap keperluan piawaian industri pembinaan di peringkat antarabangsa.

 

“GCCC komited untuk menyokong usaha memperkukuh pengiktirafan dan kefahaman terhadap keperluan piawaian industri binaan melalui pendekatan kerjasama, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan program promosi dan pembangunan kapasiti yang bersesuaian dengan keperluan pasaran antarabangsa,” katanya.

 

Menurut beliau, GCCC memiliki rangkaian kerjasama strategik yang merangkumi makmal pengujian, institusi latihan dan rakan industri di Malaysia, China serta beberapa pasaran antarabangsa, yang membolehkan aktiviti promosi, pengenalan perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan dilaksanakan secara lebih berstruktur dan berperingkat.

 

Kerjasama itu juga membuka ruang kepada penganjuran bersama aktiviti promosi antarabangsa termasuk seminar, persidangan, pameran dan misi dagang, selain penyampaian program latihan serta pembangunan kapasiti kepada peserta antarabangsa, tertakluk kepada persetujuan bersama pihak terlibat.

 

Pengarah Eksekutif GCCC, Dr Ahmad Tarmizi Mukhtar berkata, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan usaha promosi dan pemudah cara teknikal bagi membantu pihak berkepentingan memahami keperluan pengujian, pensijilan dan latihan industri binaan.

 

“Inisiatif ini menyokong proses perancangan dan pematuhan yang lebih teratur, khususnya bagi pemain industri yang ingin menembusi atau mengembangkan operasi ke pasaran antarabangsa,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Antarabangsa GCCC, Eddy Wang berkata, kerjasama tersebut membolehkan hubungan langsung diwujudkan dengan rakan antarabangsa dalam rantaian nilai industri binaan.

 

“Kerjasama ini membolehkan hubungan langsung diwujudkan dengan pengilang, makmal pengujian, badan pensijilan dan penyedia perkhidmatan sokongan bagi menyokong peluasan capaian pasaran secara berperingkat dan tidak eksklusif,” katanya.

 

Menurut kenyataan itu, MoU berkenaan mencerminkan hasrat bersama GCCC dan CIDB Holdings untuk menggalakkan kerjasama berasaskan manfaat bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan kapasiti dalam sektor pembinaan, tanpa mewujudkan sebarang hubungan kawal selia, kuasa kelulusan atau komitmen eksklusif di luar skop yang dipersetujui. - DagangNews.com

Terkini standard