hamden26/10/2026 - 17:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - GDB Holdings Berhad (GDB) memperoleh kontrak bernilai RM1.017 bilion daripada Perdana ParkCity Sdn Bhd bagi membina pembangunan kediaman mewah ParkCity Residences di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.
Kontrak itu merupakan kontrak pembangunan kediaman terbesar dalam sejarah kumpulan pembinaan berkenaan, sekali gus meningkatkan nilai kontrak yang diperoleh sejak awal tahun kepada rekod RM1.81 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, dengan perolehan kontrak terbaharu itu, jumlah buku tempahan GDB meningkat kepada kira-kira RM2.05 bilion, paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2031.
Menerusi anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd, GDB akan melaksanakan pembinaan dua blok kediaman setinggi 49 hingga 63 tingkat yang merangkumi 433 unit pangsapuri.
Skop projek turut merangkumi podium tujuh tingkat yang menempatkan kemudahan kediaman dan tempat letak kereta, selain tempat letak kereta bawah tanah dua tingkat.
Projek itu dijadualkan bermula pada November 2026 dan siap pada Ogos 2031.
GDB berkata, syarikat itu telah menjalin hubungan kerja dengan Perdana ParkCity sejak 2013 menerusi pelaksanaan beberapa projek di Desa ParkCity, termasuk One Central Park, Westside III dan Park Regent.
Kumpulan itu turut merekodkan prestasi penilaian kualiti pembinaan yang tinggi menerusi projek terdahulu, apabila Metrohub 4 memperoleh skor 90% di bawah Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC), manakala Park Regent mencatatkan skor 85.5% di bawah BuildQAS.
Menurut GDB, kedua-dua projek berkenaan berada dalam kalangan projek dengan skor tertinggi dalam industri.
Pengarah Eksekutif merangkap Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan GDB, Andy Lai Wee Young berkata, kepercayaan berterusan Perdana ParkCity terhadap syarikat itu selama lebih sedekad mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan pelaksanaan projek, mutu kerja dan penyiapan mengikut jadual.
“Perdana ParkCity telah mempercayakan pembangunan utamanya kepada GDB selama lebih sedekad, mencerminkan keyakinan mereka terhadap keupayaan pelaksanaan projek kami, mutu kerja berkualiti dan penyiapan mengikut jadual.
“Dengan saluran projek yang kukuh di seluruh Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai prestasi mampan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. - DagangNews.com





