
MANILA – Seorang wanita ditahan selepas melarikan seorang bayi baru lahir dari sebuah hospital di Pampanga, Filipina, lapor portal berita Must Share News.
Ketua Polis Mabalacat, Leftenan Kolonel Jose Charlmar Gundaya berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 1.20 pagi (waktu tempatan), baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek membalut bayi tersebut dengan selendang sebelum memasukkannya ke dalam beg beli-belah dan meninggalkan tempat kejadian.
“Seorang saksi ternampak suspek mengambil bayi tersebut, namun dia menyangka wanita itu merupakan ahli keluarga bayi berkenaan.
“Suspek dilaporkan melawat bilik bayi pada waktu malam, berbual dengan ibu bapa dan mendukung bayi berkenaan seolah-olah dia merupakan ahli keluarga mereka,” kata Gundaya.
Suspek berjaya dikesan tidak lama kemudian, manakala bayi itu diselamatkan dan dipulangkan semula kepada ibu bapanya.
Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang bekas pekerja luar negara yang kehilangan anaknya. Penculikan itu dibuat akibat kemurungan selepas bersalin.
“Selepas mengalami kemurungan akibat kehilangan anaknya, dia mahu menggantikan anaknya sendiri,” tambahnya.
Suspek dan suaminya berdepan tuduhan menculik dan pemerdagangan manusia. – AGENSI
The post Sedih hilang anak, wanita culik bayi dari hospital appeared first on Kosmo Digital.





