Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang guru dilaporkan cedera ketika cuba merampas sebuah objek tajam yang dibawa oleh seorang pelajar dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah sekolah antarabangsa dekat Kuching, Sarawak pagi tadi.
Menurut laporan Harian Metro, pelajar lelaki dikatakan telah membuat rakaman video sebelum berlaku insiden berkenaan.
Menerusi video yang tular di laman X, dapat dilihat pelajar itu sempat melihat dirinya ke cermin yang dipercayai di sebuah tandas sekolah sebelum menyerbu masuk ke dalam sebuah bilik darjah.

Guru yang terkejut dengan tindakan remaja itu dilihat cuba merampas objek yang dibawa pelajar berkenaan sebelum berlaku pergelutan dan rakaman terpadam.

Artikel berkaitan: Kes Tikam Bandar Utama: Tertuduh Mengaku Suka Mangsa Sebelum T*kam 200 Kali
Artikel berkaitan: Kes Tikam Adik: Remaja Perempuan Dituduh Bunuh Tanpa Niat
Guru alami kecederaan, pelajar berjaya dikawal
Susulan kejadian itu, guru berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan, manakala pelajar itu berjaya dikawal sebelum dibawa ke pejabat pengetua.
Difahamkan pihak polis kemudian tiba di sekolah dan mengambil alih pengendalian kes dan ibu bapa pelajar tersebut juga turut dihubungi pihak sekolah.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian berkenaan, namun menafikan dakwaan bahawa kapak digunakan dan menjelaskan objek tajam itu adalah pisau pena.
Dalam pada itu, pemeriksaan turut dilakukan terhadap beg pelajar tersebut dan pihaknya menemui barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut, serta ia kini dikendalikan pihak polis.
Sehingga setakat ini, tiada kecederaan lain dilaporkan dan sebagai langkah keselamatan pihak sekolah mengarahkan premis ditutup sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan, selain meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing lebih awal.
Selain itu, pelajar yang berada di lokasi berhampiran juga dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






