Genting Plantations rancang lancar projek hartanah RM500 juta pada 2027 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 10:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Genting Plantations rancang lancar projek hartanah RM500 juta pada 2027 - Penganalisis Image from: Genting Plantations rancang lancar projek hartanah RM500 juta pada 2027 - Penganalisis sarah26/11/2026 - 10:17 Gambar hiasan dari laman web Genting Property Sdn Bhd Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Genting Plantations Bhd (Genting Plantations) merancang melancarkan projek hartanah bernilai RM500 juta pada 2027, dengan aset tanah strategiknya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kumpulan di luar perniagaan perladangan.

 

Pembangunan yang akan dibangunkan oleh Genting Property Sdn Bhd yang merupakan cabang hartanah Genting Plantations yang kini membangunkan dua projek pembangunan bercampur utama di Kulai dan Batu Pahat, Johor.

 

CGS International Securities (CGSI) berkata, kumpulan itu turut merancang pelancaran projek hartanah bernilai kira-kira RM320 juta pada suku keempat 2026.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan segmen hartanah mampu meningkatkan sumbangan kepada keuntungan Genting Plantations ketika pertumbuhan pengeluaran kelapa sawit dijangka mendatar pada tahun depan.

 

Potensi penilaian semula atau penjanaan tunai daripada aset tanah strategik di Johor juga boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan penilaian saham kumpulan.

 

Selain pembangunan hartanah di Malaysia, CGSI menjangkakan peningkatan aktiviti operasi Jakarta Premium Outlet di Indonesia turut menyokong pertumbuhan keuntungan segmen berkenaan.

 

Keuntungan bersih teras dijangka meningkat 25%

CGSI mengunjurkan keuntungan bersih teras Genting Plantations meningkat 25% kepada RM504.9 juta pada tahun kewangan 2027 (FY27) berbanding RM403.5 juta yang diunjurkan bagi FY26, didorong terutamanya oleh jangkaan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

 

Bagaimanapun, pengeluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan dijangka tidak mencatatkan pertumbuhan pada 2027 berikutan kesan kemarau dan fenomena El Niño di Kalimantan, yang menyumbang kira-kira 60% daripada keseluruhan pengeluaran BTS kumpulan.

 

CGSI menjangkakan harga MSM lebih tinggi terutama pada separuh pertama 2027 apabila kesan fenomena cuaca tersebut terhadap pengeluaran industri sawit semakin ketara.

 

Risiko kenaikan kos pengeluaran

Berbeza dengan pandangan CGSI, MBSB Research menurunkan unjuran keuntungan Genting Plantations bagi FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 13% dan 12.6% kepada RM363.8 juta dan RM380.1 juta, susulan prospek pengeluaran yang lebih lemah.

 

Kos pengeluaran minyak sawit kumpulan juga dijangka meningkat kepada antara RM2,600 hingga RM2,700 satu tan dalam tempoh berkenaan, manakala segmen hiliran terus berdepan persaingan daripada syarikat penapisan minyak sawit di Indonesia.

 

BIMB Securities Research pula menjangkakan kesan berpanjangan kemarau dan jerebu di Kalimantan akan mula menjejaskan jumlah tandan buah yang boleh dituai sekitar Februari 2027.

 

Keuntungan bersih suku ketiga meningkat 7.9%

Bagi suku ketiga FY26, Genting Plantations mencatatkan keuntungan bersih RM93.3 juta, meningkat 7.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 10.8% kepada RM938.5 juta.

 

Pendapatan segmen hartanah bagaimanapun menyusut 34.6% kepada RM56.2 juta, manakala keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) segmen itu merosot 44.3% kepada RM6.8 juta.

 

Bagi sembilan bulan pertama FY26, keuntungan bersih kumpulan menyusut 11.2% kepada RM302.3 juta meskipun pendapatan meningkat 13.8% kepada RM2.66 bilion.

 

CGSI mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM8.30, manakala MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM5.88 dan BIMB Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM5.20. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved