liza25/11/2026 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – Genting Plantations Berhad menyediakan komitmen modal berjumlah RM832.93 juta setakat 30 September 2026 dengan sebahagian besar daripadanya melibatkan perbelanjaan bagi hartanah, loji dan peralatan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM771.98 juta atau kira-kira 92.7% diperuntukkan bagi hartanah, loji dan peralatan manakala RM60.62 juta melibatkan aset hak guna dan RM327,000 bagi aset tidak ketara.
Bagaimanapun, laporan kewangan suku ketiga kumpulan tidak memperincikan jenis aset, projek atau kemudahan tertentu yang akan dibiayai menggunakan komitmen modal berkenaan.
Dari segi status pelaksanaannya, sebanyak RM76.40 juta daripada jumlah itu sudah mempunyai kontrak, manakala baki RM756.53 juta masih belum dikontrakkan.
Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, Genting Plantations turut membelanjakan RM282 juta bagi pengambilalihan hartanah, loji dan peralatan.
Hasil suku ketiga meningkat 11%
Dari segi prestasi kewangan, kumpulan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11% kepada RM938.5 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), berbanding RM846.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 46% kepada RM181 juta daripada RM124.2 juta, manakala keuntungan bagi tempoh kewangan kumpulan naik 41% kepada RM125.9 juta berbanding RM89.4 juta sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil kumpulan meningkat 14% kepada RM2.66 bilion berbanding RM2.33 bilion, manakala PBT naik 3% kepada RM508.5 juta daripada RM492.6 juta.
Keuntungan bagi tempoh kewangan turut meningkat 2% kepada RM353.4 juta berbanding RM345.3 juta, meskipun pendapatan sesaham asas susut kepada 33.70 sen daripada 37.93 sen.
Perladangan dan pembuatan hiliran pacu hasil
Mengikut segmen, perladangan kekal sebagai penyumbang hasil terbesar dengan mencatatkan peningkatan 18% kepada RM717.2 juta pada suku ketiga, berbanding RM608.2 juta setahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong peningkatan pengeluaran tandan buah segar (BTS) sebanyak 14% kepada 595,000 tan daripada 523,000 tan, susulan corak pengeluaran lebih tinggi di beberapa ladang serta pemulihan selepas hujan lebat dan banjir pada 2025.
Sementara itu, segmen Pembuatan Hiliran merekodkan peningkatan hasil sebanyak 33% kepada RM364.3 juta berbanding RM273.8 juta, disumbangkan oleh peningkatan jumlah jualan. Bagaimanapun, EBITDA terlaras segmen itu turun 31% kepada RM900,000 berikutan margin lebih rendah.
Segmen hartanah pula mencatatkan penurunan hasil 35% kepada RM56.2 juta daripada RM85.9 juta, manakala EBITDA terlaras susut 44% kepada RM6.8 juta. Segmen AgTech merekodkan kerugian EBITDA terlaras RM1.1 juta berbanding keuntungan RM900,000 sebelumnya, terutamanya disebabkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan lebih tinggi.
Harga minyak sawit dan cuaca pengaruhi prospek
Bagi prospek, kumpulan menjangkakan harga minyak sawit berdepan tekanan menurun dalam tempoh terdekat susulan peningkatan pengeluaran, paras inventori yang tinggi serta pembetulan harga minyak mentah.
Bagaimanapun, kelemahan harga itu dijangka bersifat sementara dan sebahagiannya dapat diimbangi oleh permintaan biodiesel Indonesia yang lebih tinggi serta kemungkinan kesan fenomena El Niño yang boleh mengehadkan pengeluaran minyak sawit industri dalam tempoh dua tahun akan datang.
Genting Plantations turut menjangkakan pengeluaran buah tandan segar mungkin sederhana menjelang penghujung tahun susulan kesan El Niño, walaupun peningkatan usia matang beberapa kawasan tanaman kepada profil hasil lebih tinggi dijangka membantu menyokong pengeluaran.
Dalam segmen hartanah, kumpulan meneruskan pembangunan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, termasuk penawaran hartanah baharu U.Reka di Bandar Genting Indahpura. Kerja penyediaan tapak dan infrastruktur jalan bagi kampus AgTech seluas 500 ekar di Johor Tech Smart City (JTSC) juga sedang berjalan selepas pelancarannya pada Jun 2026.
Kumpulan turut meneruskan kerjasama dengan Huawei Technologies menerusi perjanjian perancangan induk bagi JTSC, termasuk pembangunan Knowledge AI Campus. Pada masa sama, taman perindustrian pintar JTSC yang menyasarkan kemudahan pembuatan termaju dilaporkan menerima minat pelabur. - DagangNews.com





