GeoAttendance Bukti Keupayaan Digital UPSI, Raih Emas di ICQCC 2025

Technology
9 Nov 2025 • 11:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: GeoAttendance Bukti Keupayaan Digital UPSI, Raih Emas di ICQCC 2025
Juri ICQCC 2025, Kheng Chuang (empat dari kanan), menyerahkan trofi Gold Award kepada Abdul Mueiz (lima dari kanan) pada 50th International Convention on Quality Control Circles di Taipei International Convention Center (TICC), Taiwan. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila pasukan i-RAY daripada Pusat ICT universiti itu meraih Anugerah Emas (Gold Award) pada 50th International Convention on Quality Control Circles (ICQCC 2025) yang berlangsung di Taipei International Convention Center (TICC), Taiwan, dari 3 hingga 6 November.

Kejayaan berprestij itu diperoleh menerusi projek inovatif bertajuk “GeoAttendance: Solving UPSI’s Staff Attendance Challenges with Geolocation Technology”, yang menampilkan penyelesaian pintar berasaskan teknologi geolokasi bagi memperkukuh sistem kehadiran staf dan kecekapan operasi universiti.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin bin Md Taff, berkata kejayaan itu membuktikan bahawa warga UPSI memiliki kemampuan bertaraf global dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada ekosistem pengurusan universiti.

“Kejayaan ini menggambarkan kemampuan warga UPSI untuk berinovasi dan menghasilkan penyelesaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Ia mencerminkan komitmen universiti dalam menjunjung nilai kecemerlangan serta memperkukuh budaya kerja berasaskan kualiti dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Pusat ICT UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, menyifatkan pencapaian pasukan i-RAY sebagai simbol kejayaan transformasi digital universiti yang semakin kukuh.

“Projek GeoAttendance ialah hasil kreativiti dan kecekapan pasukan ICT UPSI dalam menyelesaikan cabaran sebenar pengurusan kehadiran staf.

“Ia membuka ruang kepada pembangunan lebih banyak inovasi digital yang menyokong keberkesanan sistem pentadbiran dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Pengurus pasukan i-RAY, Nurul Fadzillah Sapengin, pula berkata pengiktirafan di pentas antarabangsa itu merupakan hasil usaha berpasukan dan sokongan berterusan daripada pengurusan universiti.

ICQCC, yang turut digelar “Olympics of Quality”, merupakan konvensyen tahunan berprestij yang menghimpunkan pasukan peningkatan kualiti dari lebih 13 negara termasuk Jepun, Korea, China, Singapura, Thailand, Malaysia dan India.

Edisi ke-50 tahun ini dianjurkan oleh Association of Pioneer Quality Control Research (PQCRA), Taiwan dengan sokongan Malaysia Productivity Corporation (MPC) mewakili Malaysia.

Delegasi UPSI diketuai oleh Nurul Fadzillah Sapengin selaku Pengurus Pasukan, bersama ahli pasukan i-RAY terdiri daripada Ts. Abdul Mueiz Rosli (Ketua Kumpulan), Mohammad Firdaus Zainun, Norhayaty Abdul Rahaman, Suhaila Abusairi, Prabu Tharmalingam, Nur Syafinaz Azmi dan Khairul Ikmal Ishak.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.