KEJAYAAN skuad sepak takraw lelaki negara kembali merangkul emas acara regu berpasukan di pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mengundang rasa sebak bercampur bangga dalam kalangan masyarakat.
Lebih manis lagi, kejayaan itu hadir dengan menewaskan seteru tradisi Thailand 2-0 pada aksi final di Nagoya City Mizuho Arena, sekali gus mengulangi kejayaan bersejarah di Sukan Asia Beijing 1990.
Ia bukan sekadar catatan pingat, tetapi juga simbol kebangkitan semula sepak takraw Malaysia di pentas tertinggi Asia.
Selepas 36 tahun menunggu, kemenangan ke atas Thailand mempunyai nilai tersendiri kerana umum mengetahui negara tersebut cukup handal dalam sukan libas-melibas itu.
Lebih penting, kemenangan skuad 'The Golden Tigers' di Nagoya memperlihatkan kekuatan Malaysia bukan bergantung kepada satu regu sahaja.
Malaysia membuka tirai dengan kemenangan regu pertama yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias ke atas trio Thailand, Marukin Phanmakon, Putawan Sopa dan Pornthep Tingbangbon.
Walaupun dipaksa bekerja keras selepas tewas set kedua 5-15, trio negara bangkit pada set penentuan untuk mencatat kemenangan 15-9, 5-15, 15-11 sekali gus memberikan mata pertama buat Malaysia.
Momentum itu kemudian dimanfaatkan sebaiknya oleh regu kedua yang dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi.
Ketiga-tiganya tampil lebih tenang dan meyakinkan untuk menewaskan regu kedua Thailand 15-13, 15-10.
Justeru, emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 lebih daripada sekadar makna menamatkan penantian 36 tahun.
Ia menjadi bukti bahawa sepak takraw Malaysia masih mempunyai kemampuan dan ketangkasan dalam menewaskan gergasi Asia.
Kejayaan ini sewajarnya menjadi titik tolak dalam memastikan ia bukan episod sekali lalu sahaja, sebaliknya permulaan kepada kesinambungan dominasi Malaysia di pentas antarabangsa.






