Gilir pemain kunci konsistensi JDT

FootballSports
30 Aug 2026 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gilir pemain kunci konsistensi JDT
Munoz

SISTEM penggiliran pemain menjadi resipi penting Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mengekalkan prestasi pada tahap terbaik, termasuk di posisi serangan yang menyaksikan Bergson da Silva kembali mengganas dengan hatrik ketika membelasah Star City FC 7-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz berkata, kehadiran barisan penyerang berkualiti membolehkannya melakukan giliran pemain bagi memastikan setiap pemain mendapat minit permainan secukupnya, selain menjaga tahap kecergasan dalam mengharungi jadual padat.

Bergson yang ketandusan jaringan dalam dua perlawanan terdahulu membuktikan ketajamannya apabila meledak tiga gol, manakala Shahab Zahedi sebelum itu mencuri tumpuan dengan enam jaringan dalam tiga aksi liga.

"Pada dua aksi lalu, Shahab meledak lima gol termasuk satu gol malam ini (Sabtu) dan malam ini giliran Bergson mencipta hatrik.

"Dengan jadual perlawanan yang padat, pengurusan masa bermain amat kritikal bagi memastikan kecergasan pemain sentiasa berada pada tahap optimum serta mengelakkan risiko kecederaan.

"Kami mempunyai ramai penyerang dan pemain berkualiti. Penyokong perlu faham bahawa mereka adalah manusia biasa dan tidak boleh beraksi setiap dua hari tanpa rehat," katanya.

Kemenangan itu turut menyaksikan JDT meneruskan permulaan cemerlang musim ini apabila menjaringkan 19 gol tanpa bolos dalam tiga perlawanan, membuktikan kekuatan seimbang di bahagian serangan dan pertahanan.

Munoz juga kagum dengan kualiti serta karakter pemainnya, terutama persembahan pada babak pertama yang menyaksikan JDT mengawal permainan sepenuhnya dan meledak lima gol.

"Pada separuh masa pertama, pemain memberikan persembahan yang sangat cemerlang, itu adalah corak permainan sebenar yang kami mahu tampilkan. Kami mengawal perlawanan sepenuhnya dan mencipta beberapa situasi penting.

"Memasuki babak kedua, aksi kedua-dua pasukan tampak lebih seimbang, yang penting pemain berjaya memastikan gawang tidak dibolosi. Ada beberapa aspek yang masih boleh kami perbaiki, namun secara keseluruhannya kami berada di landasan yang betul," kata Munoz.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved