hamden30/09/2026 - 09:35 Gambar hiasan janaan AI Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept - SD Guthrie Bhd (SDG) kini beralih daripada sekadar menjadi tuan tanah kepada pemaju solar pihak ketiga kepada pendekatan pembangunan bersama, pemilikan dan pengoperasian aset tenaga boleh baharu (RE) berskala utiliti, sekali gus membuka sumber pendapatan berulang baharu kepada kumpulan, menurut penganalisis.
MBSB Research berkata, peralihan strategi itu mendapat momentum menerusi GKinta, syarikat bersekutu 33.5% milik SDG, yang menandatangani Perjanjian Bekalan Elektrik Hijau (BESC) selama 21 tahun di bawah skim CRESS dengan pembeli tenaga dari Amerika Syarikat.
Menurut nota penyelidikan, kerjasama GKinta dengan Gamuda dan Gentari menggabungkan bank tanah SDG yang besar dengan kepakaran tenaga kedua-dua rakan kongsi, sekali gus mengukuhkan pelaksanaan projek serta memberikan keterlihatan terhadap pengembangan perniagaan RE kumpulan.
“SDG sebelum ini memainkan peranan sebagai tuan tanah kepada pemaju solar pihak ketiga di bawah LSS4 dan CGPP, masing-masing melibatkan kapasiti 336MW dan 227MW.
“Melalui CRESS dan perkongsian dengan Gamuda serta Gentari, kumpulan kini bergerak ke arah pembangunan bersama, pemilikan dan pengoperasian aset solar berskala utiliti, sekali gus meluaskan asas pendapatannya melangkaui hasil sewaan tanah,” menurut nota itu.
GKinta dicadangkan membangunkan projek solar berserta penyimpanan tenaga berkapasiti 680MWac di Perak, yang dijangka mula beroperasi pada 2029, tertakluk kepada penyempurnaan projek.
Kapasiti tersebut sahaja adalah 1.25 kali ganda daripada kapasiti LSS Perak yang sedang beroperasi sebanyak 542.18MW.
Hanya guna 4.8% daripada 41,937 hektar tanah SD Guthrie di Perak
Dengan andaian tiada pertindihan, GKinta berpotensi meningkatkan gabungan kapasiti operasi dan dirancang kepada 2.12GW menjelang 2030.
Projek berkenaan berpotensi menyumbang pendapatan berulang kepada GKinta mulai 2029 selepas pentauliahan, walaupun perbelanjaan modal (capex), tarif dan terma pembiayaan masih belum didedahkan sementara menunggu pelaksanaan BESC muktamad.
Berdasarkan anggaran capex RM3.5 juta hingga RM4 juta bagi setiap MWac, pembangunan 680MWac solar berserta penyimpanan tenaga itu dianggarkan menelan kos RM2.4 bilion hingga RM2.7 bilion.
Dengan andaian struktur pembiayaan 80:20 antara hutang dan ekuiti, jumlah pembiayaan ekuiti dianggarkan RM480 juta hingga RM545 juta.
Berdasarkan pegangan 33.5% dalam GKinta, komitmen SDG pula dianggarkan sekitar RM160 juta hingga RM180 juta sepanjang tempoh pembinaan.
Dari perspektif penggunaan tanah, GKinta dianggarkan memerlukan kira-kira 1,700 hektar berdasarkan andaian 2.5 hektar bagi setiap MWac, yang berpotensi meningkat kepada 2,000 hektar selepas mengambil kira sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan infrastruktur sokongan.
Jumlah itu hanya mewakili sekitar 4.1% hingga 4.8% daripada bank tanah huluan SDG di Perak seluas 41,397 hektar.
Dengan keseluruhan bank tanah SDG di Perak sebanyak 42,117 hektar merangkumi 12.4% daripada bank tanah kumpulan di Malaysia, anggaran penggunaan bagi projek tersebut hanya sekitar 0.5% hingga 0.6% daripada keseluruhan 339,867 hektar bank tanah domestik SDG.
Ini menunjukkan penggunaan tanah bagi pengembangan RE tersebut kekal terhad di peringkat kumpulan.
MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan SDG dan harga sasaran RM7.65 sesaham, dengan penarafan BELI dikekalkan sementara menunggu butiran lanjut berkaitan projek.
Menjana pendapatan berulang jangka panjang
Sementara itu RHB Research menyifatkan penglibatan SDG dalam Gkinta hanya membarikan kesan minimum terhadap keuntungan, namun menjana pendapatan berulang jangka panjang.
Projek itu katanya dijangka dibiayai menerusi pembiayaan projek tanpa tuntutan balik (hutang) dan sumbangan ekuiti daripada rakan kongsi konsortium berdasarkan pegangan masing-masing.
"Dengan andaian caj akses sistem sebanyak RM0.20/kWj dan kadar pulangan dalaman (IRR) projek sekitar 7% hingga 8%, potensi sumbangan keuntungan projek itu dianggarkan sekitar RM140 juta setahun, atau RM47 juta setahun bagi bahagian SD Guthrie Bhd (SDG), bermula FY29.
"Walaupun projek ini dijangka memberi kesan minimum terhadap keuntungan SDG, kami menekankan bahawa ia baru permulaan kepada cita-cita RE kumpulan itu," katanya.
Pada Ogos 2025, perjanjian kerjasama SDG dengan Gamuda adalah untuk membangunkan, memiliki dan mengendalikan aset tenaga solar, termasuk sistem penyimpanan tenaga, dengan sasaran kapasiti terkumpul sebanyak 1.2GW.
"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran buat masa ini, namun menganggarkan potensi nilai ekuiti projek sebanyak RM600 juta berdasarkan pengiraan DCF kasar kami, yang berpotensi menambah RM0.05 hingga RM0.10 kepada nilai jumlah bahagian (SOP) SDG.
"Harga sasaran berasaskan SOP kami kekal tidak berubah pada RM8.00, termasuk premium ESG sebanyak 6%. Kami terus menyukai SDG berdasarkan strategi monetisasi aset dan kepelbagaian perniagaannya," katanya. - DagangNews.com




