Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akhirnya menamatkan penantian selama 16 tahun untuk meraih pingat emas Sukan Komanwel selepas muncul juara acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila atlet yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menutup tirai penampilan terakhirnya di temasya Sukan Komanwel dengan penuh bergaya selepas menewaskan kelompok pelumba elit dunia, sekali gus menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia.
Pada perlumbaan akhir, pelumba Australia, Leigh Hoffman meraih pingat perak manakala Harry Ledingham-Horn dari England membawa pulang gangsa.
Kejayaan tersebut turut menebus kekecewaan Azizulhasni, 38, yang sebelum ini terlepas peluang meraih emas pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel New Delhi 2010 selepas dibatalkan penyertaan akibat kesalahan menunggang secara berbahaya.
Artikel lain: Lima Kali Pengalaman Di Olimpik, Sudah Masa Azizulhasni Jadi Jurulatih – Hamidin
Insiden itu menyaksikan rakan senegaranya, Josiah Ng yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dinaikkan sebagai pemenang pingat emas.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Shah Firdaus Sahrom gagal melangkah ke perlumbaan akhir apabila menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan kedua, sekali gus mengakhiri kempen di kedudukan ketujuh keseluruhan.
Dalam perkembangan lain, hasrat Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk menghadiahkan pingat buat negara dalam acara pecut wanita tidak kesampaian selepas tewas kepada Sophie Capewell dari England pada aksi separuh akhir.
Izzah kemudian sekali lagi dikecewakan apabila tunduk 0-2 kepada Rhian Edwards dari Wales dalam aksi penentuan pingat gangsa, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan.
Sumber: FB Majlis Sukan NegaraThe post Glasgow 2026: 16 Tahun Menanti, Azizulhasni Awang Akhirnya Sambar Emas Keirin appeared first on Borak Daily.










