
PUTRAJAYA: Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) kumpulan sebuah syarikat milik badan berkanun dilihat tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi dirakam keterangan berhubung proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Wanita itu hadir ke SPRM bagi merakam percakapan dan membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.
Individu berkenaan tiba di SPRM dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam pada pukul 11.40 pagi tadi.
Setakat ini, tiga individu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan termasuk dua individu yang ditahan semalam.
Semalam media melaporkan, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas CFO syarikat milik badan berkanun ditahan hadir ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan.
Dua individu masing-masing berusia 68 dan 60 tahun disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira 6.30 petang semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, ketika penahanan dua individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tangkapan itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas. – UTUSAN
The post RCI Tabung Haji: Bekas CFO dirakam rakaman percakapan di SPRM appeared first on Utusan Malaysia.






