Selamat tinggal diucapkan kepada pembantu maya Google Assistant yang telah disahkan akan ditamatkan bermula 4 September 2026. Selepas tarikh ini, pembantu maya lalai di telefon Android dan jam Wear OS ialah Gemini sepenuhnya.

Google akan menghentikan akses Assistant secara berperingkat dalam masa beberapa minggu bermula tarikh di atas. Pengguna Android, tidak boleh kembali kepada Google Assistant selepas perubahan itu diterapkan.
Selain di telefon pintar Android dan jam Wear OS, Assistant juga tidak lagi boleh diseru menerus fon telinga dan kepala yang sebelum ini menyokongnya. Selepas ini jika kata seruan “Ok Google” dan “Hey Google” disebut, Gemini yang akan diaktifkan secara automatik.
Assistant dilancarkan pada tahun 2016 dengan ia menggantikan pembantu maya Google Now. Di peringkat awal ia disokong pada speaker pintar Google Nest sebelum dikembangkan ke telefon Pixel bermula 2017. Dengan Gemini dipasarkan sebagai pembantu maya kecerdasan buatan (AI) yang lebih berkuasa beberapa tahun lalu, nasib Assistant adalah sama seperti rumah kata pergi kubur kata mari.
Sumber – Android Authority






