Google Pixel 10 Boleh Mengalih Bahasa Panggilan Telefon Secara Masa Nyata Menggunakan Suara Sebenar Pemilik

TechnologyDigital
21 Aug 2025 • 10:45 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ciri alih bahasa panggilan telefon secara masa nyata sudah wujud pada peranti Samsung dalam bentuk Call Assist sejak dua tahun lalu. Ianya berguna tetapi suara yang digunakan Galaxy AI masih tidak begitu semula jadi. Di acara Made by Google awal pagi tadi, ciri Voice Translate diperlihatkan dengan ia bukan sahaja boleh mengalih bahasa panggilan telefon secara masa nyata tetapi juga menggunakan suara pemilik peranti.

Dalam demo yang diperlihatkan, panggilan suara dalam Bahasa Inggeris dialih bahasa ke Bahasa Sepanyol dan juga dari Bahasa Sepanyol ke Inggeris secara masa nyata. Menurut Google pada ketika ini Voice Translate menyokong Bahasa Inggeris, Sepanyol. Jerman, Jepun, Perancis, Hindi, Itali, Portugis, Sweden, Rusia dan Indonesia.

Semua pemprosesan audio dan alih bahasa dilakukan terus dari peranti menggunakan Gemini Nano dengan panggilan telefon tidak dirakam. Oleh sebab itu juga, Voice Translate hanya disokong peranti siri Pixel 10 sahaja kerana memerlukan TPU berkuasa Tensor G5.