Selari dengan pelbagai pengumuman berkaitan peranti-peranti baharu, kini Google turut secara rasminya melancarkan akses Google Store untuk pengguna di Malaysia. Melaluinya, pengguna masih belum boleh melakukan pembelian, sebaliknya ia buat masa ini memfokuskan dalam memperlihatkan penawaran peranti dan produk Google dibawah jenama Pixel untuk pasaran Malaysia.

Sebanyak empat kategori produk disenaraikan buat masa ini, iaitu Google Pixel 9, Pixel 9 Pro & Pro XL, Google Pixel Watch 3 dan juga Pixel Buds Pro 2. Tiada Google Pixel 9 Pro Fold disenaraikan. Pengguna boleh melihat pelbagai ciri-ciri yang ditawarkan, termasuk spesifikasi teknikal untuknya.
Tiada pembelian yang boleh dilakukan melalui Google Store buat masa ini. Sebaliknya, Google menyenaraikan CelcomDigi, Maxis, Senheng, Senq, Urban Republic, Shopee dan juga Lazada untuk mendapatkan produk-produk mereka secara rasminya. Bagi anda yang berminat, boleh melayari laman Google Store hari ini.
