
RATA-RATA peminat perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia sudah tidak sabar untuk menyaksikan aksi para pelumba terbaik dunia beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu ini.
Kehangatan ini dibuktikan dengan jualan tiket Gulf Air Bahrain Grand Prix di SIC dilaporkan hampir mencecah 100,000 menjelang hari perlumbaan dua hari lagi.
Menurut rekod, zaman kegemilangan GP Malaysia dari 1999 hingga 2017, jumlah tiket yang terjual dianggarkan hanya sekitar 40,000 hingga 50,000.
Kini, biarpun harga tiket di kawasan bertempat duduk dilaporkan antara RM800 hingga RM2,000 iaitu sekali ganda daripada harga lama, namun tidak mematahkan semangat peminat untuk hadir ke SIC.
Selain itu, langkah kerajaan memperkenalkan Tiket Madani berharga RM200 untuk rakyat Malaysia berjaya merancakkan lagi jualan tiket pada perlumbaan hujung minggu ini.
Untuk makluman, SIC kembali menjadi pentas F1 selepas sembilan tahun apabila dipilih sebagai lokasi GP Gulf Air Bahrain.
Pemilihan SIC dibuat susulan pembatalan perlumbaan di Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lalu akibat situasi keselamatan di rantau Asia Barat.
SIC sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia selama hampir dua dekad, bermula dengan perlumbaan sulung pada 1999, sebelum edisi 2017 kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan penganjurannya.
Ketika ini, pasukan F1 sudah mula mempromosikan perlumbaan GP Bahrain menerusi platform media sosial masing-masing, sekali gus mencetuskan keterujaan para peminat tempatan.
Pasukan Red Bull Racing turut mengimbas kembali kejayaan juara dunia empat kali, Max Verstappen muncul juara pada perlumbaan terakhir F1 di Malaysia pada 2017.
“Kali terakhir kami menjejakkan kaki di Malaysia, Max baru mempunyai satu kemenangan dalam kariernya. Sejak itu, lebih banyak kemenangan diraih, termasuk di Sepang pada 2017,” tulis Red Bull.
Menerusi kehadiran pengunjung yang ramai termasuk pelancong asing, ia dijangka mampu memberikan impak ekonomi, sekali gus memberikan manfaat kepada sektor seperti hotel, restoran dan pengangkutan.
Pihak penganjur menjangkakan GP Bahrain di SIC mampu menjana impak ekonomi kira-kira AS$240 juta (RM979 juta) kepada Malaysia, sekali gus menyerlahkan nilai komersial dan pelancongan yang lebih luas.
Meskipun begitu, penulis berharap masalah jerebu yang sedang melanda negara ketika ini tidak akan merencatkan perlumbaan F1 di SIC.
Jerebu yang terlalu teruk dikhuatiri akan menghadkan penglihatan pemandu ketika perlumbaan, selain memberi persepsi negatif kepada pelancong asing.
Malah jika jerebu terlalu teruk, ia turut mengurangkan keseronokan kepada mereka yang menonton perlumbaan F1 di SIC menerusi kaca televisyen kerana kurang kejelasan. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu Indonesia ‘cemari’ F1 Sepang appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Dugaan betul berbaris panjang naik bas balik F1](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/1294b75d-7e05-46f6-95e5-58db1a5efb2a-1024x766.jpeg)




