
SEPANG – Juara dunia tujuh kali, Marc Marquez melaungkan amaran untuk memburu gelaran dunia selepas mendominasi sesi latihan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pelumba Ducati itu mencatat masa terpantas sepusingan 1 minit 57.000 saat (s) untuk muncul pelumba terpantas sekali gus mengesahkan kemaraan ke sesi kelayakan kedua (Q2), esok.
Adiknya, Alex Marquez yang mewakili Gresini Racing MotoGP melengkapkan kedudukan dua terbaik apabila merekodkan masa 1:57.109s, manakala pelumba Jepun, Ai Ogura daripada pasukan Trackhouse MotoGP Team berada di tempat ketiga dengan catatan 1:57.167s.
Marquez berkata, dia berasa selesa dengan jentera sejak sesi pertama bermula, sekali gus memberikan keyakinan untuk terus meningkatkan rentak sepanjang hari meskipun dia terjatuh di selekoh ke-15 ketika sesi petang.
“Sejak pusingan pertama, saya sudah mendapat perasaan yang baik terhadap jentera. Dengan tayar belakang sederhana, saya juga berasa selesa.
“Selain kemalangan kecil di selekoh ke-15, yang mana saya mengambil lebih risiko di situ, selebihnya berjalan dengan sempurna,” katanya.
Mengulas keadaan permukaan litar Sepang yang menjadi perhatian pasukan dan pelumba, Marquez berpendapat tiada perubahan ketara berbanding ketika ujian pramusim sebelum ini.
Bagaimanapun, dia mengakui sudah tiba masanya litar berkenaan menjalani kerja-kerja penurapan semula seperti yang pernah dibangkitkan sejak tahun lalu.
Dalam pada itu, Marquez turut menjelaskan keadaan fizikalnya yang semakin baik membolehkan dia kembali mengambil pendekatan lebih agresif selepas memilih untuk lebih berhati-hati pada pertengahan musim susulan beberapa kemalangan besar.
Katanya, keputusan untuk meningkatkan tahap risiko dibuat bermula GP Indonesia apabila dia merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan sepenuh komitmen.
“Saya berada dalam kedudukan kejuaraan yang masih dalam kawalan sendiri dan cuba meraih mata sebanyak mungkin, tetapi kita perlu bertenang kerana masih hari Jumaat,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post GP Malaysia: Marquez beri amaran di Sepang appeared first on Kosmo Online.





