GP Malaysia: Zulfahmi cari ‘setup’ terbaik bantu Hakim Danish

30 Oct 2026 • 4:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: GP Malaysia: Zulfahmi cari ‘setup’ terbaik bantu Hakim Danish

SEPANG – Masalah cengkaman dan permukaan litar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang semakin merosot menuntut pasukan Hakim Danish Ramli mencari pelarasan yang tepat terhadap jentera buat pelumba negara itu menjelang sesi kelayakan esok.

Perkara itu ditegaskan bekas pelumba Moto3 negara merangkap pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, yang mendedahkan keadaan litar ketika ini menjadi rungutan ramai pelumba bukan sahaja dalam kelas Moto3, malah kategori utama MotoGP.

Menurut Zulfahmi, ketiadaan cengkaman yang baik menyebabkan catatan masa sepusingan semasa kini lebih perlahan berbanding rekod sebelum ini.

“Sekarang ini keadaan trek semakin teruk dari segi cengkaman. Banyak tar sudah mula tercabut dan ramai pelumba mengadu tiada ‘grip’. Kita boleh lihat catatan masa juga lebih satu saat lebih perlahan daripada rekod litar sedia ada.

“Ini menunjukkan keadaan litar tidak berapa bagus dan saya percaya ia perlu diturap semula kerana sesetengah selekoh sudah tidak elok.

“Justeru, tetapan jentera yang tepat menjadi perkara paling penting untuk membolehkan jentera Hakim Danish bertahan pada lima pusingan terakhir bagi memberi saingan dalam kelompok depan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Meskipun berdepan cabaran permukaan litar, Hakim Danish mempamerkan permulaan meyakinkan pada sesi hari pertama apabila menamatkan Latihan Bebas 1 (FP1) di kedudukan kelima terpantas sebelum menduduki tempat keempat pada sesi Latihan untuk layak ke Kelayakan 2 esok.

Bagaimanapun, Zulfahmi mengingatkan pelumba berusia 19 tahun itu agar tidak terlalu selesa dengan kepantasan satu pusingan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pembentukan rentak perlumbaan yang konsisten untuk aksi sebenar hari Ahad nanti.

“Hari ini permulaan yang bagus, tetapi apa yang saya betul-betul tekankan kepada Hakim adalah fokus pada rentak perlumbaan untuk hari Ahad nanti kerana itu yang paling mustahak.

“Kita boleh buat catatan masa pantas untuk satu pusingan semasa latihan atau kelayakan, tetapi rentak perlumbaan yang stabil adalah kunci untuk dia bersaing merebut podium atau kemenangan,” jelasnya.

Mengenai sesi kelayakan esok, Zulfahmi meletakkan sasaran minimum untuk pelumba kelahiran Terengganu itu menempatkan diri kedudukan dua barisan hadapan

“Kita tahu dalam saingan Moto3 sekarang, kita tidak boleh bermula terlalu jauh di belakang kerana jarak antara barisan petak kini semakin jauh. Jadi dia perlu berada sekurang-kurangnya dalam dua barisan hadapan supaya dapat bersaing di depan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post GP Malaysia: Zulfahmi cari ‘setup’ terbaik bantu Hakim Danish appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved