
SEPANG – Pelumba pasukan Aprilia, Jorge Martin dapat menarik nafas lega apabila dia disahkan cergas untuk berlumba pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad ini.
Selepas turun memanaskan ‘enjin’ pada sesi latihan bebas pertama hari ini, dia kemudiannya menjalani ujian perubatan sebelum disahkan cergas oleh pasukan perubatan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Pengurus pasukan Aprilia, Paolo Bonora berkata, anak buahnya itu tidak ada sebarang masalah untuk beraksi dan dibenarkan berlumba menjelang perlumbaan sebenar yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.
“Selepas sesi latihan bebas pertama yang berlangsung hari ini, Martin menjalani ujian perubatan sekali lagi di pusat perubatan. Di situ, dia diperiksa sama ada cergas ataupun tidak untuk meneruskan saingan.
“Perkembangan terbaharu adalah Martin sudah disahkan cergas dan akan berlumba pada GP Malaysia Ahad ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
Meskipun disahkan dapat berlumba Ahad ini, namun pelumba Sepanyol itu sekadar menamatkan sesi latihan bebas itu di kedudukan ke-20 selepas melakukan 12 pusingan.
Pada perlumbaan pecut bagi GP Australia di Litar Phillip Island minggu lalu, Martin mengalami kemalangan sehingga menyebabkan pergelangan tangannya retak dan tidak dibenarkan berlumba. – KOSMO! ONLINE
The post GP Malaysia: Martin dapat ‘lampu hijau’ untuk beraksi appeared first on Kosmo Online.




