PELUANG pelumba negara, Hakim Danish Ramli untuk memburu keputusan positif pada Grand Prix (GP) Malaysia semakin terbuka selepas dia menamatkan sesi latihan Moto3 di kedudukan keempat terpantas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu merekodkan masa 2 minit 11.573 saat (s), hanya 0.146s di belakang David Almansa daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang mengungguli sesi berkenaan dengan catatan 2:11.427s.
Kedudukan itu memastikan Hakim Danish berada dalam kelompok 14 pelumba terpantas yang layak terus ke sesi kelayakan kedua (Q2), sekali gus memberinya peluang memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kedudukan di petak permulaan.
Rico Salmela daripada Red Bull KTM Tech3 menamatkan sesi di tempat kedua menerusi catatan 2:11.496s, manakala pelumba Honda Team Asia dari Indonesia, Veda Pratama, ketiga dengan masa 2:11.519s.
Bagi Hakim Danish, keputusan itu menjadi permulaan positif ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri, lebih-lebih lagi selepas dia menunjukkan kemampuan bersaing dengan kelompok hadapan dalam beberapa pusingan musim ini.
Pelumba berusia 19 tahun itu turut pernah mencatat perkembangan positif di Brazil, Catalunya dan GP Republik Czech, sekali gus memberi gambaran bahawa dia berupaya memberikan saingan kepada pelumba lain dalam kelas permulaan kejuaraan dunia tersebut.
Dengan tiket ke Q2 sudah berada dalam genggaman, tumpuan kini terarah kepada sesi kelayakan untuk menentukan kedudukan permulaan bagi perlumbaan utama, Ahad ini.





