
PUTRAJAYA – Persembahan grafik manusia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tampil lebih dinamik dan bertenaga menerusi 26 formasi yang menggabungkan gerakan kreatif, irama, budaya dan kepelbagaian masyarakat Malaysia dalam satu penceritaan visual.
Menampilkan 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Selangor, persembahan di struktur bertingkat di Dataran Putrajaya itu juga mengetengahkan penggunaan pelbagai alatan seperti bendera, kain berwarna, kompang, payung dan kerincing yang menjadikan susunan pergerakan lebih mencabar berbanding edisi terdahulu.
Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Rosmonaliza Ahmad berkata, meskipun jumlah peserta tahun ini berkurangan berbanding 2,000 pelajar pada tahun lepas, tahap kesukaran persembahan ditingkatkan menerusi gerakan yang lebih pantas dan kompleks.
“Persembahan kali ini lebih mencabar kerana terdapat 26 formasi dan ada gerakan tambahan untuk persembahan khas. Penggunaan alatan juga lebih banyak menjadikan formasi perlu dikendalikan mengikut masa serta kedudukan yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.
Rosmonaliza yang juga jurulatih utama berkata, persembahan grafik manusia itu menggabungkan kira-kira 16 lagu termasuk berunsurkan patriotik, etnik dan kenegerian serta lagu yang dekat dengan cita rasa Generasi Z dengan masing-masing diterjemahkan melalui susunan gerakan dan visual tersendiri.
Beliau berkata, setiap perubahan formasi dirancang bagi melengkapkan penceritaan persembahan dan bergerak seiring dengan segmen yang dipersembahkan di ruang utama perarakan.
“Sebagai contoh, ketika segmen khas gendang daripada pelbagai kaum dipersembahkan, pelajar akan membentuk imej yang mencerminkan identiti budaya masing-masing supaya muzik yang berkumandang dapat selaras dengan pergerakan.
“Begitu juga semasa paluan rebana, persembahan grafik manusia akan mempamerkan elemen Melayu, iaitu keris manakala naga mewarnai segmen gendang Cina serta burung merak bagi masyarakat India,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Suizuddeen Mohamed yang juga jurulatih utama berkata, persiapan dijalankan hampir dua bulan lepas yang bermula dengan latihan di sekolah sebelum peserta dikumpulkan untuk latihan secara berkelompok.
Beliau berkata, pasukan jurulatih turut menyediakan panduan serta video kepada sekolah terlibat supaya setiap pelajar dapat menguasai gerakan yang sama sebelum proses pemantauan dan penambahbaikan dilakukan.
Dari segi pemilihan peserta, beliau berkata, sesi uji bakat dijalankan dengan setiap sekolah dihadkan kepada 40 pelajar bagi membolehkan jurulatih mengenal pasti calon yang memenuhi kriteria.
“Tapisan bukan hanya melihat keupayaan menari atau menghafal pergerakan tetapi juga mengambil kira kesesuaian fizikal kerana saiz dan ketinggian peserta memainkan peranan dalam menghasilkan visual yang sekata apabila formasi dibentuk.
“Majoriti peserta daripada tingkatan dua hingga empat juga wajah baharu dengan hanya kira-kira 30 peratus pernah menyertai persembahan ini pada edisi terdahulu,” katanya.
Mengangkat tema “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati”, Ahmad Suizuddeen berkata, persembahan kali ini memberi penekanan kepada tenaga, kreativiti dan kesatuan dengan rentak yang turut mengetengahkan cita rasa generasi muda. – Bernama
The post Grafik manusia lebih dinamik, bertenaga tahun ini appeared first on Kosmo Digital.






