hamden27/10/2026 - 09:21 KUALA LUMPUR 27 Okt - Usaha mempercepat pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN memerlukan kerjasama kukuh antara kerajaan bagi menyelaraskan keutamaan setiap negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Shamsul Ahmad.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan penting bagi memperkukuh perdagangan elektrik rentas sempadan dan menghubungkan pelbagai sumber tenaga di rantau Asia.
Menurutnya, dari sudut teknikal, langkah awal sudah diambil untuk memahami piawaian dan peraturan sistem kuasa yang berbeza di seluruh ASEAN sebagai persediaan ke arah penyelarasan pada masa hadapan.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah memperkukuh usaha ini supaya menjadi lebih baik dan lebih besar. Ini memerlukan banyak sokongan antara kerajaan bagi memastikan setiap kerajaan memahami keutamaan yang berbeza.
“Ini kerana kita boleh memperoleh manfaat yang amat besar dengan menghubungkan pelbagai sumber tenaga yang tersedia di Asia,” katanya lapor The Edge.
Beliau berkata demikian ketika sesi panel pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2026.
Malaysia ketika ini melaksanakan beberapa urus niaga elektrik dua hala, termasuk penghantaran elektrik dari Laos ke Singapura melalui rangkaian negara ketiga, selain pembekalan elektrik dari Sarawak ke Indonesia.
Malaysia turut menjalankan perdagangan elektrik rentas sempadan dengan Thailand.
Operasi grid kuasa pelbagai hala ASEAN bermula pada 2022 menerusi Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) bagi menyalurkan 100 megawatt (MW) tenaga hidroelektrik dari Laos ke Singapura.
Perjanjian berkenaan diperbaharui untuk tempoh dua tahun pada awal 2026 selepas terhenti seketika.
Bagaimanapun, keperluan terhadap Grid Kuasa ASEAN berbeza mengikut negara.
Singapura memerlukan bekalan tenaga rendah karbon dalam skala gigawatt, manakala Laos memerlukan pasaran eksport untuk menjana pendapatan daripada kapasiti tenaga hidroelektriknya yang besar.
Sementara itu, pertumbuhan permintaan elektrik Vietnam yang lebih pantas berbanding purata memerlukan sumber penjanaan lain bagi melengkapi bekalan tenaga boleh baharu (TBB) domestiknya.
Di Malaysia, syarikat korporat sedang mengusahakan projek ladang solar untuk membekalkan elektrik ke Singapura, walaupun terma berkaitan masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Johor, dengan syarikat merancang menyediakan kapasiti solar sehingga 900MW untuk dieksport ke Singapura, sebelum sebarang pengumuman terkini mengenai platform perdagangan rentas sempadan tenaga boleh baharu Malaysia, Energy Exchange Malaysia (ENEGEM). - DagangNews.com






